Pada Jun tahun lalu, Weststar telah membawa masuk model Maxus G10 iaitu MPV 10-tempat duduk ini ke Malaysia, namun ia mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan. Hari ini, ia telah dilancarkan oleh
Dato’ Sri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan diiringi Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim selaku Pengarah Urusan Weststar Group.
Diperbuat di Shanghai, China, terdapat dua varian yang diperkenalkan iaitu Luxury 16″ dan Sport 18″. Tiada perbezaan bagi kedua-dua varian, hanyalah berbeza rim sahaja. G10 berukuran 5,168 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,928 mm tinggi dan 3,210mm jarak roda.
MPV yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ini dibawa masuk oleh Weststar Maxus Sdn Bhd, harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan bermula pada RM135,825.50 untuk Luxury 16″ dan RM138,742.85 bagi varian Sport 18″. Ia turut didatangkan dengan waranti tiga tahun dan bonus tambahan untuk setahun servis percuma.
Tidak mempertaruhkan imej yang sarat, tetapi ia hadir dengan gaya yang ringkas tetapi masih menampakkan ciri elegannya. Dengan menampilkan gril hadapan krom, lampu utama Xenon HID, lampu belakang LED, lampu kabus hadapan dan belakang, dua pintu gelongsor pada kedua-dua belah sisi dan rim aloi bersaiz 16-inci (18-inci bagi Sport 18″) yang dibaluti tayar 215/75 .
Bagi elemen di dalamnya, ia menampilkan zon-berkembar kawalan suhu automatik, penghawa dingin belakang, kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan kelajuan auto, bumbung panoramik dan pemain DVD dengan paparan LCD bersaiz tujuh-inci serta sistem audio bersama enam pembesar suara. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan kulit, pengesan parkir, lampu kabus hadapan dan belakang, kamera undur.
Tidak mengetepikan aspek keselamatan. G10 dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD, ESP, EBA, pengesan parkir, pengingatan pemasangan tali pinggang keledar untuk tempat duduk pemandu, sistem pemantauan tekanan tayar dan sistem Brake Override.
G10 dijanakan oleh enjin 2.0 liter TGI pengecas turbo dengan kuasa 225 hp pad 5,500 rpm dan tork 345 Nm pada 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik ZF enam-kelajuan bersama mod manual. G10 mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j.
Ia turut ditawarkan dengan tiga warna pilihan menarik iaitu Champagne Gold, Blanc White dan Obsidian Black. Kehadiran G10 di Malaysia pastinya akan memberikan cabaran buat model pesaing terdekatnya iaitu Hyundai Grand Starex.
Menurut Tan Sri Syed Azman, buat setakat ini, sebanyak 120 unit tempahan telah diterima dan mensasarkan jualan sebanyak 500 hingga 1,000 unit untuk tahun ini bergantung pada sambutan. “Kami merancang untuk memulakan operasi pemasangan G10 bagi unit pemasangan tempatan (CKD) seawal-awalnya September ini dan akan mengeksportnya ke pasaran ASEAN mulai tahun 2017 dengan Indonesia sebagai negara pertama.
“Malah untuk unit CKD ini, kami akan menambah lebih banyak elemen berbanding apa yang ada pada model yang dilancarkan hari ini,” ujar Tan Sri Syed Azman.
Weststar Maxus merupakan anak syarikat Weststar Group, kini memiliki 15 pengedar jualan dan 32 pusat servis di seluruh negara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.