Pengedar sah Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd telah mempamerkan Peugoet 408 e-THP di Publika Shopping Gallery hari ini. Setakat ini 408 hanya dijual secara ekslusif untuk pasaran China, oleh itu ini merupakan penampilan pertama di dunia untuk 408 yang berlainan spesifikasi seperti yang ada di pasaran China. Harga belum lagi diumumkan tetapi ia sudah mula dibuka untuk tempahan.
Sedan 408 adalah dibina berasaskan model hatchback 308, oleh itu, untuk model pasaran Malaysia yang diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Naza Gurun, Kedah (sama seperti model 308), spesifikasi uniknya adalah dihasilkan melalui gabungan kerangka sedan 408 dan ciri-ciri serta teknologi yang ada pada model 308.
Jika dilihat dari bahagian hadapan, imej 308 jelas mendominasi sedan 408 ini dengan lampu hadapan ‘bertaring’ LED penuh dan bampar hadapan yang diambil terus dari 308. Perbezaan antara kedua-dua buah model tersebut adalah pada rekaan gril hadapan, dimana gril bersalut krom dengan motif jaluran melintang menempatkan sekali logo singa Peugeot berbanding 308 di mana logo singa tersebut terletak pada bonet hadapan.
Pada bahagian sisi menyaksikan 408 dilengkapi dengan roda aloi “Rubis” dengan motif corak turbin bersaiz 17-inci, sama seperti yang terdapat pada varian asas 308 THP Active, berbeza dengan 408 spesifikasi China yang dilengkapi dengan roda aloi pelbagai jejari. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan yang seiras dengan 408 China, dilengkapi dengan lampu belakang LED berbentuk-C dan dua tip ekzos berbentuk-trapezoid.
Perbezaan terbesar antara 408 spesifikasi China dan Malaysia dapat dilihat pada bahagian dalaman. Peugeot 408 pasaran Malaysia berkongsi rekaan papan pemuka dengan model 308 avant-garde, berbanding 408 China yang mempunyai rekaannya yang tersendiri. Sedan ini turut dilengkapi dengan paparan instrumen i-cockpit. Skrin paparan yang berukuran 9.7 inci diapit oleh dua liang penghawa dingin tengah. Berbanding 308, roda stereng 408 mempunyai diameter yang lebih kecil.
Keseluruhan tempat duduk 408 dibalut dengan kulit berbanding varian tertinggi 308 THP menerima balutan Alcantara dibahagian tengah dan hanya balutan fabrik pada varian Active. Selain itu turut kelihatan, kereta ini dilengkapi dengan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin dan juga sistem Smart Park Assist II.
Untuk ciri keselamatan, 408 dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman dan Sistem Informasi Titik Buta. Walau bagaimanapun, 408 tidak dilengkapi pakej Driver Assistance seperti 308 THP yang terdiri dari Kawalan Kelajuan Dinamik, Amaran Pelanggaran Kecemasan dan juga Brek Kecemasan Automatik.
Peugeot 408 dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Turbo High Pressure (THP) empat-silinder dengan sistem pancitan bahan api terus, yang mampu menjana 165 hp dan tork maksima 240 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan beserta teknologi Quikshift. Abjad “e” pada nama model ini (408 e-THP) merujuk kepada sistem start-stop automatik pada enjin yang buat pertama kalinya dilengkapi pada model Peugeot pasaran Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.