Proton COE press conference 1

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kerajaan Malaysia meluluskan permohonan pinjaman berjumlah RM1.5 billion kepada Proton dengan beberapa syarat, termasuk mewujudkan jawatankuasa untuk melihat semula pelan halatuju pembuat kereta nasional tersebut. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini mendedahkan dengan lebih terperinci berkenaan jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa berkenaan diketuai oleh CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Idris Jala, yang akan bertanggungjawab untuk memantau implementasi Proton terhadap pelan pemulihan yang dirancang, dengan menjadikan syarikat tersebut lebih kompetitif, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed seperti yang dilaporkan The Star.

Ia juga bertanggungjawab untuk memantau pelan strategik untuk Proton meningkatkan bahagian pasaranya untuk peringkat domestik, dan juga untuk menembusi pasaran antarabangsa. “Jawatakuasa ini juga akan mengenalpasti rakan kongsi strategik dari luar dalam masa terdekat untuk membantu Proton mencapai sasarannya bagi meningkatkan daya saing.

Perdana-Brochure-4

“Walau bagimanapun, jawatankuasa ini tidak terlibat dengan operasi seharian Proton yang mana untuk tanggungjawab tersebut adalah terletak sepenuhnya pada pengurusan dan ahli lembaga pengarah Proton,” kata Mustapa.

Enam orang dilantik untuk menganggotai jawatankuasa ini, di mana tiga daripadanya adalah dari sektor swasta, dan selebihnya adalah dari sektor awam. Ahli dari sektor swasta adalah terdiri daripada Pengerusi Esekutif Symphony House Bhd dan CEO kumpulan Tan Sri Azman Yahya, Ketua Pengarah Esekutif Celcom-Axiata Berhad Datuk Sri Shazalli Ramly dan Ketua Khidmat Kewangan Komuniti Maybank Datuk Dato’ Hamirullah Borhan.

Ahli dari sektor awam pula adalah terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Nik Rahmat Nik Taib, Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Dr Yusof Ismail dan Timbalan Pengarah Kanan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Yogeesvran Kumaraguru.