Ford perkenal enjin EcoBlue turbodiesel 2.0 liter serba baharu ganti enjin Duratorq 2.2 liter, 13% lebih efisien

Ford telah mendedahkan siri enjin turbodiesel baharu dikenali sebagai Ford EcoBlue. Untuk peringkat permulaan, enjin baharu ini hadir dalam varian 2.0 liter pancitan bahan api terus, menggantikan enjin 2.2 liter Duratorq TDCi (yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2005), dengan beberapa talaan dan akan memenuhi undang-undang Euro 6 yang akan diperkenalkan pada September 2016 nanti.

Enjin ini dijadualkan akan memasuki produksi dan menjana van Ford Transit dan Ford Transit Custom terbaharu dengan tiga pilihan talaan iaitu 105 PS, 130 PS dan 170 PS untuk kegunaan komersil. Ford juga mendakwa enjin baharu ini menawarkan 20% lebih tork (sehingga 340 Nm) yang hadir seawal 1,250 rpm berbanding enjin 2.2L TDCi.

Untuk masa hadapan, barisan enjin diesel EcoBlue akan diperkembangkan termasuk varian 1.5 liter untuk digunakan pada kenderaan yang lebih kecil seperti Focus, C-Max, B-Max dan Fiesta. Menurut Ford, enjin-enjin tersebut berkemampuan menjana kuasa dari 100 PS hingga 240 PS. Enjin 2.2L TDCi terdahulu berkemampuan menjana 160 PS/400 Nm dan boleh ditemui pada Ranger, Everest dan Mazda BT-50.

Ford-EcoBlue-2.0L-1-e1461741586376_BM

Untuk mendapatkan tahap kecekapan yang lebih tinggi, Ford telah menggabungkan banyak teknologi dalam rekaan enjin EcoBlue ini. Enjin baharu ini menampilkan rekaan manifold kemasukan udara yang dibina sekali dengan kepala silinder enjin. Ia menggunakan rekaan liang kemasukan imej-cermin yang dapat mengawal jumlah kemasukan udara ke kebuk pembakaran dengan lebih tepat.

Unit pemancit bahan api piezoelektrik baharu juga turut dipadankan pada enjin baharu ini. Nozel pemancit tersebut berupaya untuk memberikan sehingga enam suntikan untuk setiap proses pembakaran, dengan sesi suntikan berlaku sepantas 250 mikro saat (0.00025 saat) dan memberikan kapasiti suntikan diesel sebanyak 0.8 mg, menerusi lapan lubang halus berdiameter 120 mikron. Ini membolehkan penghantaran bahan api ke kebuk pembakaran dilakukan dengan lebih tepat dan terkawal.

Antara rekaan terkini pada enjin EcoBlue ini termasuk rekaan aci engkol yang dibina dengan ukuran offset 10 mm untuk mengurangkan geseran di dinding silinder pada blok besi, diameter galas aci engkol yang dikecilkan, sistem pelinciran tali sawat basah untuk aci sesondol dan pam minyak pelincir, dan juga rekaan injap yang memberikan prestasi optimum dengan modul aci sesondol tunggal serba baharu. Inovasi-inovasi ini akan mengurangkan geseran di dalam enjin dan membawa kepada peningkatan kecekapan bahan api sehingga 13%.

Ford-EcoBlue-2.0L-2-e1461741703715_BM

Roda turbin aloi inkonel yang mampu berfungsi dalam suhu yang sangat tinggi pada unit pengecas turbo enjin ini juga dikecilkan diameternya sehingga hampir 10% bagi membolehkan ia memberikan lebih udara pada kelajuan enjin yang lebih rendah. Roda unit pemampat pada pengecas turbo tersebut turut dikecilkan sehingga 15%. Bagi membolehkan masa tindak balas yang diambil lebih pendek sehingga 110 milisaat, unit penggerak (actuator) pada pengecas turbo tersebut turut ditukar daripada jenis gear ulir kepada gear bergigi.

Selain dari peningkatan dari segi kecekapan, operasi enjin EcoBlue baharu ini turut diperhalusi. Kepala silinder, blok, pam pelincir dan takungan minyak pelincir direka bagi membolehkan enjin tersebut beroperasi dengan lebih senyap – didakwa lebih senyap 50% dari enjin 2.2L TDCi ketika dalam kelajuan melahu. Permukaan yang tidak rata juga memastikan bunyi di dalam enjin terperangkap dengan kemas semasa beroperasi.

Untuk memastikan ketahanan enjin ini, Ford telah mengujinya dalam ujian pemanduan di dunia sebenar, beberapa ujian analisa makmal, tapak ujian persendirian Ford dan juga penilaian CAE sejauh 402,336 km. Ford mendakwa, hasil ujian tersebut jelas menunjukkan enjin EcoBlue baharu ini berupaya untuk menghadapi permintaan yang ekstrim dalam pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan China.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required