Pos Malaysia telah menerima penghantaran sejumlah 553 unit trak pikap Tata Xenon. Trak-trak pikap tersebut bakal digunakan untuk operasi penghantaran kurier, ekpress dan bungkusan Poslaju syarikat tersebut.
Tata Xenon cab tunggal 4×2 dikuasakan dengan enjin turbodiesel 2.2 liter berkuasa 140 PS dan tork maksima 320 Nm bermula pada 1,700 rpm hingga 2,700 rpm. Trak pikap dengan badan kotak binaan khas ini dilengkapi dengan kamera undur dan akses pada bahagian belakang dan kedua belah bahagian tepi untuk memenuhi keperluan pengunaan pihak Pos Malaysia.
Perjanjian yang dilakukan pada November 2015 menyaksikan Pos Malaysia mengambil keputusan untuk menyewa trak pikap menerusi fasiliti DRB-Hicom EZ-Drive. Tempoh sewaan ditetapkan dalam masa 36 bulan, dengan pilihan sambungan sewaan untuk 24 bulan berikutnya.
Kenderaan komersial Tata Motors diedarkan di Malaysia oleh DRB-Hicom Commercial Vehicles, dan Pos Malaysia juga adalah syarikat di bawah naungan DRB-Hicom. Penghantaran kesemua unit trak pikap ini disempurnakan oleh bekas CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah yang kini merupakan Ketua Pegawai Operasi edaran automotif dan pertahanan di DRB-Hicom.
GALERI: Trak pikap Tata Xenon
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.