Kementerian Wilayah Persekutuan telah mensasarkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam di ibu kota Kuala Lumpur sehingga 60% menjelang tahun 2020. Ia adalah sebagai salah satu langkah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Menurut Timbalan Menterinya Datuk Dr J Loga Bala Mohan, sebanyak 40% penggunaan pengangkutan awam pula disasarkan di kawasan luar pusat bandar, laporan Bernama.
Katanya, ketika ini kadar penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur adalah sangat rendah iaitu sekitar 20% berbading di kebanyakan bandaraya utama di dunia seperti Tokyo dan Singapura yang melebihi 75%.
Kenyataan ini diberikan dalam persidangan Dewan Negara yang berlangsung semalam sebagai menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mahu kementerian menyatakan apakah usaha yang akan dilakukan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.
“Langkah utama untuk menyelesaikan masalah ini adalah menerusi perancangan yang selari dengan ‘Perhubungan Berorientasikan Transit’ dan ‘Pengurusan Permintaan Perjalanan’. Justeru, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam adalah langkah paling efektif untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya,” katanya.
Bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur khususnya, pelbagai inisitif berbentuk kemudahan serta infrastruktur fizikal telah dibuat. Antaranya penyediaan hentian akhir di bandar, ‘park and ride’, rangkaian siar pejalan kaki yang selesa dan selamat, hubungan bangunan ke bangunan, panel informasi perkhidmatan bas, laluan pejalan kaki berbumbung dan sebagainya.
Selain itu katanya, usaha-usaha secara faktor daya tolak kepada penggunaan kenderaan persendirian sedang dalam perancangan seperti meningkatkan kadar bayaran letak kereta, caj kesesakan dan penetapan zon bebas kenderaan.
Selain itu, menerusi inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar dan juga Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur sedang memperluaskan perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya sistem rel.
“Antaranya, mempeluaskan perkhidmatan sistem rel melalui projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang yang dijangka siap 2017 mampu menampung sekitar 400,000 penumpang sehari dan kerja-kerja MRT 2 laluan Sungai Buloh-Putrajaya telah pun dimulakan. Apabila siap, dijangka peratusan pengguna pengangkutan awam akan meningkat dan secara tidak langsung kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur akan berkurangan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.