Ford-Everest-Malaysia-Price

Sebelum ini, kami telah memaparkan spesifikasi mengenai Ford Everest baharu di Malaysia, namun ketika itu ia belum diumumkan harganya. Kini, Ford Malaysia telah mendedahkan harga bagi SUV tujuh-tempat duduk buatan Thailand ini akan bermula dari RM198,888 untuk varian 2.2L Trend 2WD. Manakala varian 3.2L Titanium AWD pula bergarga RM258,888. Ia adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Baru-baru ini ia telah pun dipamerkan dalam siri jelajah Ford Go Further yang berlangsung di 1 Utama, di mana kedua-dua varian yang dibangunkan/direka oleh Australia menampilkan penjana kuasa yang sama dengan model Ranger T6 facelift. Iaitu enjin ZSD-422 2.2 liter empat-silinder Duratorq TDCI bagi varian Trend. Ia mampu memberikannya kuasa sehingga 158 hp pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm.

Manakala varian Titanium pula, dikuasakan oleh enjin P5AT 3.2 liter empat-silinder Duratorq dengan output 197 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm.

Bagi transmisi, hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan (berbanding Australia yang menerima pilihan manual enam-kelajuan), yang turut sama ditampilkan pada model Ranger, tetapi telah disesuaikan bagi kegunaan SUV bagi mempertingkatkan lagi pengendaliannya.

Everest 3.2L Titanium AWD (kiri), Everest 2.2L Trend 2WD (kanan)

Untuk elemen yang ditampilkan pula, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua varian. Elemen yang sama termasuk penghawa dingin dua-zon, kawalan kelajuan, lampu kabus depan dan belakang, rel bumbung bercat dan tempat duduk penumpang hadapan dengan dua cara larasan-manual.

Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

Everest 2.2L Trend 2WD

Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh lapan-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (lapan-cara larasan berkuasa untuk pemandu, dua-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (empat-cara larasan manual untuk pemandu, dua-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

Everest 3.2L Titanium AWD

Mengenai aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

Terdapat empat warna luaran yang ditawar, dengan dua warna biasa bagi kedua-dua varian iaitu Aluminium Metallic dan Black Mica Metallic. Manakala tambahan warna bagi Trend ialah Cool White dan Sunset Metallic untuk Titanium.

Mungkin anda merasakan harga yang ditawarkan agak tinggi bagi sebuah SUV bukan? Untuk pengetahuan anda, Toyota Fortuner baharu yang dilancarkan pada minggu lalu pula ditawarkan pada harga dari RM187k hingga RM200k. Harga permulaan bagi SUV yang berasaskan Hilux itu mungkin lebih rendah, tetapi lihat sahaja senarai elemen yang diberikan buat 2.4 VRZ. Manakala varian tertinggi bagi Fortuner pula lebih murah berbanding Everest Titanium, tetapi enjin petrol 2.7 liter merupakan penjana kuasa terbaik untuk jentera sebesar ini.

GALERI: Ford Everest 3.2L Titanium 4×4

GALERI: Ford Everest 2.2L Trend 4×2