Ford-Everest-3.2-Titanium-preview-BM-37

Nampak gayanya Ford Everest generasi ketiga semakin menghampiri detik pelancarannya. SUV yang pernah diperkenalkan di Beijing pada akhir 2014 ini, sedang dipamerkan di siri jelajah Ford Go Further di pusat membeli-belah 1Utama sehingga 2 Mei ini.

Kedua-dua varian adalah dibangunkan/direka oleh Australia, merupakan SUV tujuh-tempat duduk yang akan ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu 2.2L Trend 4×2 dan spesifikasi tertinggi 3.2L Titanium 4×4. Minggu lalu, kami telah mendedahkan spesifikasi bagi varian untuk pasaran Malaysia, yang menampilkan penjana kuasa yang sama dengan model Ranger T6 facelift.

Bagi varian Trend, ia dipadankan dengan enjin ZSD-422 2.2 liter empat-silinder Duratorq TDCI, yang mampu memberikannya kuasa sehingga 158 hp pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm. Manakala varian Titanium pula, dikuasakan oleh enjin P5AT 3.2 liter empat-silinder Duratork dengan output 197 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm.

Bagi transmisi, hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan (berbanding Australia yang menerima pilihan manual enam-kelajuan).

Untuk elemen yang ditampilkan pula, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua varian. Elemen yang sama termasuk penghawa dingin dua-zon, kawalan kelajuan, lampu kabus depan dan belakang, rel bumbung bercat dan tempat duduk penumpang hadapan dengan dua cara larasan-manual.

Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

Selain itu, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh lapan-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (lapan-cara larasan berkuasa untuk pemandu, dua-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (empat-cara larasan manual untuk pemandu, dua-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

Bagi aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

Terdapat empat warna luaran yang ditawar, dengan dua warna biasa bagi kedua-dua varian iaitu Aluminium Metallic dan Black Mica Metallic. Manakala tambahan warna bagi Trend ialah Cool White dan Sunset Metallic untuk Titanium. Buat masa ini, harganya masih belum diumumkan, namun mungkin dijangka sekitar RM200k bagi Trend, dan Titanium sedikit mahal dari itu.

GALERI: Ford Everest 3.2L Titanium 4×4

GALERI: Ford Everest 2.2L Trend 4×2