Klik untuk besarkan

Ford Everest generasi ketiga dijangka bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun ini. Namun sebelum ia dilancarkan, kami telah menerima brosur rasmi SUV tujuh-tempat duduk ini, terima kasih pada pembaca paultan.org Joshua Ling Dee Sing.

Mengikut brosur ini, ia menawarkan dua varian iaitu 2.2L Trend 4×2 dan 3.2L Titanium 4×4 (spesifikasi tertinggi), yang kedua-duanya dijanakan oleh unit turbodiesel. Model terdahulu menerima enjin 2.2 liter empat-silinder sebaris dengan kuasa 160 PS pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm.

Sementara itu, varian baharu dengan enjin 3.2 liter empat-silinder sebaris mampu menghamburkan kuasa sehingga 200 PS pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan, bagi kedua-dua varian.

Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

Klik untuk besarkan

Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend dengan sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

Selain itu, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh 8-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (8-cara larasan berkuasa untuk pemandu, 2-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

Ford-Everest-2015-10

Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (4-cara larasan manual untuk pemandu, 2-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

Bagi aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

Walau bagaimana pun, kita tidak boleh mengandaikan apa yang ada dalam brosur ini mungkin semuanya kita akan terima, kena nantikan pengesahannya ketika pelancaran rasminya.

GALERI: Ford Everest 2015 di Chiang Rai