CEO dan Pengerusi Suzuki Motor Corp Osamu Suzuki akan melepaskan jawatan CEO yang disandangnya berikutan ujian penggunaan bahan api yang tidak tepat didedahkan bulan lalu, lapor Automotive News.
Walau bagaimanapun, syarikat tersebut mengumumkan Suzuki masih lagi kekal sebagai Pengerusi dan turut menambah Timbalan Presiden Eksekutif Osamu Honda akan bersara. Keputusan untuk menggantikan kedua-dua jawatan tersebut juga masih belum lagi dibuat.
Pengeluar automotif keempat terbesar di Jepun itu dikatakan menggunakan ujian yang tidak tepat untuk mengira jarak perbatuan untuk model keluaran tahun 2010, dengan memberikan hasil ujian dari ujian makmal berbanding ujian pada kenderaan sebenar.
Pegawai penyiasat di Jepun menyerbu ibu pejabat syarikat berkenaan minggu lalu kerana kesalahan ujian yang tidak tepat tersebut.
Suzuki turut mengatakan perubahan pada tugas pengerusi dan persaraan Timbalan Presiden Eksekutif syarikat tersebut akan berkuatkuasa 29 Jun ini, dan perkara tersebut akan disahkan oleh pemegang saham pada mesyurat tahunan mereka.
Bayaran pampasan bulanan Osamu Suzuki akan ditolak sebanyak 40% untuk enam bulan selepas Julai ini, manakala anak beliau iaitu Presiden Toshihiro Suzuki turut akan ditolak sebanyak 30% dalam tempoh masa yang sama.Bonus tahun 2015 untuk para pengarah tidak akan diberi, manakala bonus untuk pengarah urusan senior dan pengarah urusan akan dipotong separuh.
Syarikat berkenaan juga dikatakan sedang merancang untuk memperkenal langkah pemulihan termasuk menyediakan latihan yang lebih untuk jurutera dan memperkukuhkan sistem ujian perbatuan mereka.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.