Local Motors yang sebelum ini menghasilkan jentera perlumbaan off-road Rally Fighter, kini hadir dengan rekaan terbaharu mereka, Olli iaitu sebuah bas mini elektrik sepenuhnya (EV) yang mampu memuatkan 12 orang penumpang.
Olli bukan sahaja menggunakan elektrik sepenuhnya, malah ia adalah sebuah bas tanpa pemandu yang bergerak sendiri mengikut laluan yang telah ditetapkan, serta mampu untuk memenuhi arahan dari penumpang. Bas mini ini dibina sendiri oleh Local Motor, dengan sistem kawalan komputer yang diambil dari Watson, iaitu sistem kognitif dari IBM.
Sistem tersebut membolehkan Olli menerima permintaan laluan, dan juga menerima serta bertindak balas arahan yang diberikan. Olli turut boleh memberikan cadangan restoran kepada penumpang berdasarkan laluan yang diminta oleh penumpang.
Olli mampu bergerak sendiri sepenuhnya dengan teknologi pengesanan cahaya dan jarak (LIDAR), bersama kamera dan penderia lain yang mampu untuk mengemudi jalan dan trafik secara automatik.
Bas mini yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 20 hp dan tork 125 Nm serta mampu mencapai kelajuan maksima 20 km/j. Bateri yang digunakan mampu untuk membawa Olli sejauh 50 km, cukup untuk kegunaannya yang ditetapkan di kawasan universiti dan dalam bandar.
Setakat ini, hanya sebuah Olli yang telah dibina dan kini sedang beroperasi dibawah pengawasan manusia di Maryland. Jika perkara yang tidak diingini berlaku, Local Motors berkata, tanggungjawab sepenuhnya akan diambil oleh mereka. Local Motors turut bercadang untuk membina unit Olli tambahan untuk beroperasi dibeberapa kawasan lain iaitu satu di Las Vegas, dua di Florida serta empat di Denmark menjelang akhir tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.