VIDEO: Pendedahan berkenaan bahaya di sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan

Baru-baru ini pihak polis telah mengeluarkan amaran kepada penunggang motosikal, tanpa mengira saiz motosikal, mereka perlu untuk menggunakan lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan. Amaran ini telah disuarakan sendiri oleh Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus.

Mahamad turut menyatakan tiada pengecualian diberikan kepada penunggang motosikal berkapasiti lebih besar, dan menambah “Jurutera telah membuat kajian mereka dan merekabentuk laluan untuk digunakan semua jenis motosikal” dan meniyfatkan alasan penunggang yang tidak mahu menggunakan laluan berkenaan sebagai “alasan yang lemah dan tidak boleh diterima.” Kenyataan berkenaan mengundang provokasi kepada ramai penunggang motosikal, di mana ramai daripada mereka mengatakan lorong berkenaan tidak selamat untuk dilalui, terutamanya di terowong-terowong, lebih-lebih lagi pada waktu malam atau dalam cuaca buruk.

Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk melihat sendiri adakah dakwaan-dakwaan berkenaan benar. Mohan, penunggang uji motosikal residen paultan.org menunggang sendiri motosikal sepanjang lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan untuk kali ini, di mana dia sendiri sebenarnya sudah hampir 10 tahun tidak menggunakan laluan tersebut, sebaliknya lebih suka menggunakan laluan alternatif.

Kamera dipasangkan pada motosikal Triumph Street Triple R, dan laluan tunggangan dimulakan dari susur masuk Jalan Utara untuk ke lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan, menuju ke Klang dan kemudian pulang semula.

Federal Highway motorcycle lane - 127

Perkara pertama yang kami perasan semasa masuk ke lorong motosikal ialah betapa sempitnya lorong tersebut. Hanya muat untuk dua buah kapchai secara bersebelahan. Triumph Street Triple yang ditunggang ini, walaupun bukanlah sebuah motosikal yang benar-benar besar, memerlukan keputusan dibuat dengan cepat ketika memotong.

Lagi satu perkara yang kami perasan adalah permukaan jalan, yang ditampal di banyak kawasan, dan sangat kasar serta tidak rata. Antara maklum balas yang kami terima ialah permukaan jalan tersebut agak berbahaya kepada roda motosikal, dengan ramai yang mengatakan rim mereka bengkok kerana secara tidak sengaja melanggar lubang pada jalan di lorong berkenaan.

Maklum balas lain pula mengatakan permukaan lubang yang tidak rata, dengan akar pokok yang menjalar di bawah permukaan tar, memerlukan mereka mengelak, dan kami dapati ia adalah benar. Menukar haluan secara mengejut untuk mengelak halangan-halangan ini bukanlah perkara yang boleh dilakukan pada laluan yang sempit terutamanya pada waktu puncak.

Federal Highway motorcycle lane - 128

Kawasan pembinaan sepanjang kedua-dua belah laluan Lebuhraya Persekutan telah menjejaskan beberapa kawasan pada lorong motosikal menyebabkan sebahagian laluan dialihkan ke lorong kecemasan. Walaupun ini merupakan langkah yang perlu dilakukan dalam terma pengurusan trafik, kami dapati penghadang trafik yang diletakkan pada laluan sementara berkenaan terlalu sempit, tiada ruang untuk melakukan kesilapan atau berhenti.

Halangan yang kami jumpa kebanyakkannya tiada tanda amaran atau lampu amaran yang sepatutnya, manakala serpihan dari kawasan pembinaan ditemui bersepah di kebanyakkan laluan. Jika anda menunggang motocross, pasir mungkin sesuatu yang menyeronokkan, tetapi jika anda menunggang skuter dengan roda yang kecil atau motosikal dengan beban yang berat pada bahagian belakang, perkara ini merupakan risiko yang serius.

Menunggang melalui terowong mendedahkan lagi halangan lain, terutamanya berkaitan lampu. Pada sebahagian terowong, lampu tidak berfungsi, atau berkelip. Isu lain ialah tahap pencahayaan. Menunggang ketika panas terik, kemudian masuk ke terowong yang gelap menjadikan penunggang akan kehilangan pandangan seketika kerana cahaya yang kurang di dalam terowong.

Federal Highway motorcycle lane - 106

Mata mengambil sedikit masa untuk dapat melihat kembali ketika beralih dari kawasan sangat terang ke kawasan gelap gelita. Ini agak bahaya walaupun ketika menunggang pada kelajuan 60-80 km/j. Permukaan jalan di dalam terowong, yang kami agak ia dibina dari konkrit juga tidak rata.

Motosikal yang kami tunggang menggunakan suspensi boleh laras tiada masalah untuk melalui permukaan sedemikian. Tetapi kami tertanya-tanya bagaimana penunggang dengan motosikal biasa melalui permukaan sebegitu setiap hari.

Dalam kebanyakkan kes, penunggang perlu mengambil selekoh yang tajam untuk masuk ke terowong, dengan laluan keluar yang tajam menunggu pada penghujung. Dengan pandangan yang boleh hilang sementara semasa masuk ke kawasan yang gelap, ini merupakan pengalaman yang bukanlah menarik semasa menunggang sepanjang lorong ini.

Federal Highway motorcycle lane - 117

Isu lain adalah berkenaan halangan air yang kami tempuhi. Kami dapati air bertakung pada sebahagian tempat, dan mengikut maklum balas yang kami terima, banjir pada lorong motosikal semasa hujan lebat merupakan perkara biasa, dengan sebahagian daripada mereka mengatakan mereka hanya menyedari air telahpun naik hingga paras lutut setelah masuk ke dalam terowong.

Sebahagian laluan pada lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan agak bengkang-bengkok, hampir seperti landasan roller coaster. Mungkin sebahagian daripada anda menganggapnya agak menyeronokkan, tetapi untuk mereka yang terpaksa menggunakannya untuk ke tempat kerja setiap hari, ia bukan perkara yang seronok. Ditambah dengan keadaan lorong yang sempit dan tiada kawasan untuk kecemasan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, risiko untuk berlakunya kemalangan agak tinggi.

Selekoh pada lorong motosikal ini merupakan salah satu sebab dari sebahagian kegusaran yang dibangkitkan. Beberapa selekoh direka dengan baik dan padan dengan had laju, tetapi terdapat juga selekoh dengan sudut 90 darjah yang agak mencabar teknik pengendalian kelajuan rendah penunggang. Lorong yang sempit ditambah dengan dinding dan pagar di kedua-dua sisi lorong, menjadikan lorong berkenaan sebagai lorong laluan tunggal.

Federal Highway motorcycle lane - 110

Jadi, ketika waktu puncak di mana terdapat banyak motosikal serentak pada satu-satu masa, kesesakkan terjadi secara tidak langsung. Sebahagian penunggang dikatakan tidak mempunyai ruang untuk mengelak sekiranya penunggang dihadapannya membrek secara tiba-tiba untuk mengambil selekoh atau mengelak lubang.

Bonggol pada lorong motosikal ini juga dibina terlampau besar, dan kami nampak kemalangan berlaku apabila seorang penunggang hilang kawalan selepas melanggar bonggol berkenaan.

Penunggang juga kadang-kala perlu bertaruh nasib semasa mahu memotong. Pada sesetengah bahagian seperti di Shah Alam, memotong adalah mudah kerana jalan yang lurus, jelas serta mempunyai ruang yang secukupnya untuk mengelak jika sesuatu terjadi. Tempat lain contohnya di Angkasapuri atau Sunway, memotong memerlukan anda membuat jangkaan yang yang tepat, dan berharap motosikal dihadapan tidak bertukar arah secara tiba-tiba.

Federal Highway motorcycle lane - 107

Penghadang jalan di sepanjang lorong juga dibina hampir dengan bahu jalan, bermaksud penunggang tidak boleh mengelak sekiranya apa-apa terjadi secara tiba-tiba di hadapan mereka. Apa yang boleh dilakukan adalah membrek dengan kuat dan berdoa tidak terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Menunggang dengan laju tidak membawa apa-apa makna kerana ruang untuk melakukan kesalahan adalah sangat kecil, jika anda menunggang dengan perlahan pula, anda akan menyebabkan kesesakan trafik. Kami menunggang dengan kelajuan purata 55 km/j, dan menurut GPS, kelajuan agak bertambah pada bahagian yang tiada halangan.

Halangan lain yang kami nampak dalam perjalanan termasuk pejalan kaki berjalan dan melintas lorong, serta kereta yang turut melintasi lorong. Tanda arah juga agak kurang, serta susur keluar dari lorong motosikal ini juga tidak ditanda dengan jelas.

Federal Highway motorcycle lane - 116

Walaupun boleh untuk menunggang motosikal besar pada laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, tetapi sebenarnya ia agak berisiko. Jika penunggang tidak fokus, atau berlaku sesuatu secara tiba-tiba, kemalangan adalah mudah untuk berlaku. Pada sebahagian kawasan di lorong motosikal ini, satu-satunya perkara yang menyelamatkan penunggang kami adalah pengalaman menunggang selama berdekad-dekad, dan juga motosikal yang bagus.

Jadi, jika dilihat dari sudut keselamatan, adakah polis mempunyai hak untuk menguatkuasakan penunggang untuk menggunakan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan? Ya, undang-undang tetap undang-undang, dan tidak patuh kepada undang-undang bakal mewujudkan masalah lain. Sifat sambil lewa sebahagian pengguna jalan raya, tidak kira yang memandu atau menunggang, merupakan bukti yang kukuh.

Tetapi, adakah adil untuk penunggang motosikal untuk berhadapan dengan bahaya di lorong motosikal, apabila infrastruktur dan penyelenggaraannya yang jelas teruk dalam pelbagai aspek?

Kami harap video ini, bersama komen dan pendapat dari pembaca kami, akan membuka mata pihak berkuasa untuk membuat perubahan bukan sahaja pada lorong motosikal, tetapi pada keseluruhan jalan raya dan lebuhraya, bagi membolehkan kita mendapat perjalanan yang selamat ketika memandu atau menunggang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • ada satu tempat yg lebih bahaya kpd penunggang motosikal di lebuhraya persekutuan lorong menghala ke klang. berhampiran petaling jaya, tiada pagar bersebelahan tebing dalam dan sungai

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required