Ekoran kadar kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam khususnya bas persiaran makin membimbangkan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengkaji sama ada pemeriksaan berkala mandatori terhadap pengangkutan awam oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) perlu ditambah.
Menurut Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon, buat masa ini pemeriksaan berkala mandatori bagi pengangkutan awam hanya diadakan dua kali setahun. Justeru, dengan menambah kekerapan pemeriksaan berkala itu, ia dilihat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan berkenaan, laporan Bernama.
“Kita akan mengkaji keperluan untuk menambah kekerapan pemeriksaan kenderaan di Puspakom yang sebelum ini hanya dalam tempoh enam bulan sekali. Kajian perlu dilakukan kerana ia turut mempengaruhi banyak faktor termasuk tambahan kos penyelenggaraan yang akan ditanggung pengusaha sekiranya ia dilakukan lebih kerap,” katanya bagi mengulas isu yang dibangkitkan oleh Bernama ini.
Pada 10 Julai lalu, sebuah bas persiaran dilaporkan telah merempuh 10 buah kenderaan lain dalam satu kemalangan di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. Kejadian yang berlaku selepas Terowong Menora pada kira-kira pukul 3 petang itu dipercayai berpunca daripada masalah kegagalan brek bas berkenaan.
Walau bagaimana pun, Wong berkata kemalangan tersebut tidak boleh dikaitkan dengan keadaan jalan di lebuh raya itu yang dikatakan berbahaya kerana pihak berwajib telah mengambil langkah keselamatan tertinggi untuk menyelenggara laluan berkenaan.
Namun pengguna jalan raya perlu mempertingkatkan pemanduan berhemah dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan pengguna lain apabila melalui kawasan berisiko kemalangan seperti di laluan berhampiran Terowong Menora itu.
“Pemandu kenderaan awam mahupun persendirian perlu tahu apa yang patut dilakukan sewaktu melalui kawasan curam seperti itu dengan bertindak memperlahankan kelajuan kenderaan mengikut kadar had laju ditetapkan serta menggunakan gear rendah,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.