Kurang lebih sejak lima tahun lalu, saya jarang-jarang lagi menunggang motosikal. Tetapi, sebelum tempoh itu, motosikal menjadi sebahagian daripada denyut nadi dalam urusan harian; satu-satunya mod pengangkutan yang jimat dan pantas, terutama kalau ingin meredah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Saya menunggang motosikal sebagai cara paling mudah untuk bergerak, sebagai pengguna biasa dan tidak lebih daripada itu. Hidupkan enjin, dan jalan. Oh, brek kena ‘makan’ juga, kalau tidak, parah.

Lama dulu, motosikal Honda EX-5 saya hilang, dalam kawasan pagar rumah! Inilah antara masalah bila ada motosikal yang tahan lasak; orang suka curi. Motosikal gantian selepas mendapat pampasan insurans selepas itu ialah sebuah Modenas Kriss 110 terpakai. Lama juga menggunakannya. Tetapi, entah apa silapnya, Modenas Kriss berkenaan selalu ditimpa masalah.

Macam-macam masalah mekanikal yang akhirnya menyaksikan ia hanya tersadai dan berhabuk di parkir bawah rumah pangsa tempat saya tinggal. Sudahnya, dalam keadaan rosak itu, saya jual kepada seorang yang tidak dikenali; cuma RM800 dan dia tersenyum puas. Sejak itu, saya tidak memiliki motosikal sendiri lagi.

Pengalaman berada di atas jalan raya sebagai seorang penunggang motosikal pula ada waktunya sangat meresahkan. Saya pernah saksikan sendiri seorang penunggang wanita hampir dilanggar, hanya dipisahkan oleh jarak yang sangat-sangat tipis, oleh sebuah Proton Wira yang sengaja ingin melanggar lampu merah di persimpangan besar Kerinchi (berdekatan pintu masuk Universiti Malaya).

Di dalam satu kejadian lain, saya juga pernah melihat bagaimana seorang penunggang skuter tersembam kerana motosikalnya melanggar air bertakung akibat banjir yang agak dalam, sementara motosikalnya pula separa ditenggelami air. Ini berlaku di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur, betul-betul di persimpangan Jalan Templer.

Federal-Highway-motorcycle-lane-107-850x531

Saya sangat yakin penunggang-penunggang lain pasti pernah menyaksikan atau terlibat sendiri di dalam kejadian-kejadian yang lebih teruk daripada ini. Saya kembali memikirkan hal-hal ini sejak tergerak hati untuk memiliki semula sebuah motosikal. Kebetulan pula, minggu ini saya menerima beberapa buah motosikal bagi tujuan ulasan tunggang uji.

Beberapa perkara yang saya sedari semula; untuk seorang penunggang biasa dan kurang pengalaman seperti saya berada di atas jalan raya, tak boleh teragak-agak atau takut-takut menunggang. Perlu yakin, tetapi jangan terlebih yakin. Kena peka selalu.

Di dalam beberapa kesempatan juga, saya kembali menggunakan laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan; sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur sendiri. Walaupun tidak dinafikan ia sangat berguna untuk mengasingkan pengguna motosikal daripada kenderaan lain, namun ada banyak perkara yang tidak menyenangkan tentang laluan ini. Saya tak yakin keadaannya kini lebih baik berbanding ketika saya kerap melaluinya sebelum ini.

Federal-Highway-motorcycle-lane-106-630x394

Permukaan jalan tidak sekata dan berlubang dan air bertakung masih ada di mana-mana. Tiang lampu yang sepatutnya memberi amaran untuk penunggang memerlahankan motosikal kerana ada selekoh atau terowong di depan, seperti yang terdapat berdekatan perismpangan Hotel Hilton Petaling Jaya juga tidak berfungsi.

Laluan yang agak sempit (bayangkan jika anda menunggang motosikal yang saiz dan kapasiti enjinnya besar) juga mungkin menjadi sebab mengapa segelintir penunggang tidak mahu menggunakan laluan berkenaan dan masuk ke laluan utama lebuhraya itu. Ini belum lencongan yang asal boleh dan merbahaya pada sesetengah tempat.

Jika beralih kepada laluan utama pula, ia mengundang bahaya yang lain pula. Saya menunggang motosikal, dan saya juga memandu kereta. Mungkin hal ini memberi sudut pandang yang agak berbeza ketika di atas jalan, harapnya menjadi satu kelebihan.

Di laluan utama misalnya, seperti di Lebuhraya Persekutuan (penunggang motosikal tidak seharusnya berada dilaluan itu), saya selalu perhatikan pertimbangan penunggang motosikal adakalanya silap. Kita menganggap pemandu kereta dapat melihat kita selalu, tetapi itu sebenarnya silap. Dalam situasi biasa, seorang pemandu hanya akan mampu memberi reaksi yang wajar bila dia dapat melihat dan sedar kedudukan seorang penunggang. Jika anda mencelah dengan gopoh, berada di titik buta dan sebagainya, inilah antara hal yang akan mendatangkan masalah.

Pucuk pangkal semua permasalahan ini sebenarnya sudah diketahui umum, iaitu sikap masing-masing dalam kalangan pengguna jalan raya. Saya akan mulakan dengan diri saya sendiri terlebih dahulu, baik sebagai penunggang motosikal mahupun ketika memandu kereta untuk selalu lebih mengutamakan keselamatan sendiri dan juga orang lain di sekeliling. Ketika berada di atas jalan raya, jangan kalut! Rileks-rileks sudah.

Tonton juga video tunggangan kami di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, dan lihat sendiri sama ada ia benar-benar selamat atau sebaliknya. Dan, jangan lupa kongsikan juga pandangan atau pengalaman anda berkenaan perkara ini. Kami sangat mengalu-alukan maklum balas anda.