Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur pagi ini melancarkan model terbaharu jenama mewah itu di Malaysia, Roll-Royce Dawn, dengan harga permulaan RM4 juta. Antara model mewah pengeluar sama yang pernah diperkenalkan untuk pasaran tempatan sebelum ini ialah Ghost dan Wraith.
Dawn menampilkan pendekatan rekabentuk yang dikenali sebagai Drophead (bumbung boleh diturunkan), menjadikannya model kedua yang mewarisi reka bentuk yang sama selepas model Phantom Coupe.
Dari sudut kejuruteraan, Rolls-Royce memberi perhatian khusus terhadap operasi elektronik bagi bumbung berkenaan; ia hanya memerlukan 20 saat untuk dilipat dan simpan sepenuh, dan ini boleh dilakukan dalam keadaan kenderaan bergerak tidak melebihi kelajuan 50 km/j.
Menjadi nadi utama penggerak model ini ialah enjin berkapasiti 6.6 liter V12. Ia menjana sejumlah 563 hp dan 780 Nm tork, yang digandingkan bersama transmisi lapan-kelajuan oleh ZF.
Dawn mendefinisikan semula maksud kemewahan pada sebuah kenderaan. Buatan tangan yang halus, serta pengalaman pemanduan dan ketika berada di dalamnya yang lain daripada lain menjadikannya sangat unik dan berbeza.
“Sejak beberapa tahun ini, kami melihat jenama Rolls-Royce berubah apabila generasi baharu usahawan yang berjaya ingin memiliki sebuah Rolls-Royce. Model Ghost dan Wraith nyata mengubah tanggapan terhadap penampilan sebuah Rolls-Royce moden. Kami amat berbangga untuk bekerjasama dengan Rolls-Royce,” jelas Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong.
Rolls-Royce Dawn dengan reka bentuk Drophead dengan empat tempat duduk adalah sebuah kenderaan mewah kontemporari yang sukar ditandingi. Bahagian dalaman yang menggunakan panel Canadel manakala sebahagiannya diperbuat daripada kayu boleh disesuaikan mengikut pilihan pelanggan.
Rolls-Royce Dawn akan dipamerkan dan terbuka untuk kunjungan umum di Bangsar Shopping Centre mulai 22 hingga 24 Julai, dari 11 pagi hingga 8 malam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.