Mazda_BT-50_Hilux-based_Theo

Pada pembentangan prestasi perniagaan Mazda untuk rantau ASEAN di Jepun hari ini, Pegawai Eksekutif Mazda untuk pasaran yang berkembang, Hiroshi Inoue mendedahkan beberapa fakta penting berkenaan kerjasama pembinaan kenderaan komersial Mazda bersama Isuzu.

Pertama, beliau mengesahkan kerjasama berkenaan akan melibatkan pembinaan trak pikap BT-50 generasi berikutnya. Ini bermaksud BT-50 selepas ini tidak lagi berkongsi platform dengan Ford Ranger, sebaliknya akan dibina berasaskan Isuzu D-MAX generasi berikutnya.

Inoue menambah model Isuzu dan Mazda akan dibezakan sama seperti BT-50 dan Ranger, yang menampilkan rekaan bahagian luar dan papan pemuka tersendiri untuk setiap jenama.

Inoue turut mengatakan trak pikap Mazda berikutnya tidak akan diproduksi di kilang AutoAlliance Thailand (AAT) Rayong, di mana BT-50 sedia ada dibina di sana bersama Ranger. Sebaliknya, ia akan dibina bersama D-Max di salah sebuah fasiliti Isuzu di Thailand.

Oleh itu, kapasiti Mazda di AAT – yang berkongsi 50/50 bersama Ford – akan digunakan untuk memasang kereta penumpang Mazda dalam usaha menangani kapasiti produksi yang semakin meningkat.

Dalam responnya terhadap soalan mengenai rancangan untuk membangunkan SUV berdasarkan trak pikap seperti Isuzu MU-X, Inoue berkata tiada lagi rancangan sedemikian setakat ini, kerana permintaan terhadapnya mempunyai pasaran yang terhad seperti Thailand, Filipina dan beberapa negara Afrika.

Inoue turut berkata permintaan terhadap SUV seperti CX-5 adalah lebih tinggi, yang lebih sesuai untuk banyak pasaran, dan menambah Mazda sebelum ini pernah berbincang dengan Ford untuk membina SUV berdasarkan Ford Everest, sebelum mengambil keputusan untuk menumpukan kepada pembinaan CX-5 sebagai langkah yang lebih baik.