bus crash bernama

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan, menjelang tahun 2020, semua bas ekspres yang beroperasi di negara ini akan dilengkapi dengan alat pengehad kelajuan. Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia, memetik laporan Bernama.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata pelaksanaan pemasangan alat berkenaan dapat memastikan mana-mana bas ekspres hanya dapat bergerak pada had kelajuan 90 km/j sahaja. “Kita telah minta semua bas yang baru dikeluarkan dan didaftarkan agar dipasang alat pengehad berkenaan mulai Januari tahun depan,” katanya.

Bagi bas-bas lama pula, tempoh lima tahun diberikan untuk pengusaha terlibat memasang alat pengehad itu. Menjelang tahun 2020 semua bas dijangka sudah dilengkapi alat berkenaan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum itu turut mengulangi seruannya terhadap syarikat-syarikat bas ekspres agar memasang alat pengehad kelajuan pada bas yang diusahakan. Beliau juga menegaskan syarikat diberi tempoh setahun untuk mematuhinya atau bakal berdepan penggantungan.

Menyentuh bagaimana cara dan kaedah alat pengehad itu berfungsi, Nadzri menyatakan hal berkenaan akan diteliti dan dikaji oleh pihaknya. “Mungkin kita akan bagi bonus (bergerak laju) 10 peratus (daripada 90km/jam) bila ia ingin memotong sebelum masuk semula ke lorong yang dibenarkan,” katanya.

Had laju kebangsaan bagi kenderaan berat di lebuh raya ketika ini adalah dari 80 hingga 90 km/j. Manakala bagi jalan persekutuan dan negeri pula adalah 70 hingga 80 km/j.

Nadzri juga dilaporkan berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) akan membantu JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membangunkan satu sistem bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secara bersepadu.

Katanya ketika ini JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP dalam menjalankan operasi penguatkuasaan jalan raya, manakala PDRM dan SPAD mempunyai sistem masing-masing.

“Oleh itu, persetujuan telah dibuat supaya sistem sedia ada yang dilaksanakan secara masa nyata (real time) ketika ini dipertingkatkan khususnya prosedur menyenarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan,” katanya.