Honda Future F1 02

Pilihan dalam pasaran tempatan bagi motosikal underbone atau kapcai sangat banyak. Ini kerana, motosikal kuasa rendah seperti itu menjadi semacam satu kaedah pergerakan yang paling cekap dan jimat bagi kebanyakan orang. Dan, Boon Siew Honda sejak dahulu lagi menjadi satu nama yang sinonim dalam menawarkan motosikal ‘cub’.

Siapa yang boleh melupakan model-model ikonik massa seperti Honda C70 atau EX-5, sebuah model yang kini tidak dapat dinafikan sebagai kapcai terpenting dan mungkin saja menjadi model paling laris yang pernah dikeluarkan oleh Boon Siew Honda untuk pasaran Malaysia.

Kita lihat pula penawaran kapasiti enjin sebahagian kapcai yang ada; juga sangat pelbagai. Mondenas misalnya ada model-model 100 cc, 110 cc, 115 cc serta 130 cc. Begitu juga dengan pesaing utama Honda, Yamaha memiliki banyak juga penawaran enjin bagi kapcainya; selain 110 cc, paling popular mungkin 135LC yang mendominasi pasaran kapcai.

Yang terbaharu, kapcai dengan enjin 150 cc pula diperkenalkan untuk pasaran tempatan. Dengan terlalu banyak pilihan, serta sesaran enjin yang berbeza hanya beberapa cc antara motosikal-motosikal terbabit, bagaimana untuk memilih mana satu yang lebih sesuai?

Bagi motosikal jenis ini, sedikit perbezaan sahaja, misalnya pada kapasiti enjin, sudah cukup untuk memberikan kelainan yang agak ketara. Tidak dinafikan, bagi kebanyakan orang, sedikit perbezaan harga di antara semua pilihan yang ada ini turut menjadi penentu kapcai mana yang akan dimiliki. Walaupun melibatkan perbezaan prestasi, ramai yang melihat kepada aspek harga mana yang lebih bersesuaian dengan kemampuan poket masing-masing dalam membuat keputusan akhir.

Honda Future F1 06

Ada satu lagi kelompok kapcai yang sedikit ‘senyap’ dan kurang mendapat perhatian, iaitu bagi kelas 125 cc. Dan, Honda Future FI yang ditampilkan ini adalah satu daripadanya. Untuk memberi sedikit konteks yang lebih luas, dan bukan bertujuan untuk membanding-bandingkan, mungkin ada yang akan berkata, Yamaha 125ZR masih lagi ditawarkan kini dengan sesaran enjin 125 cc. Tetapi itu bukanlah lawan yang setara dengan Honda Future FI.

Memang kapasiti enjinnya sama, tetapi antara keduanya merupakan jenis motosikal yang sangat berbeza. Yamaha 125ZR merupakan sebuah jentera dua lejang yang lebih sporty dan agresif. Manakala bagi Honda Future FI, ia merupakan sebuah kapcai empat lejang. Paling hampir dari sudut penggayaan dan penggunaan yang ditawarkan oleh Honda Future FI mungkin Yamaha 135LC. Tetapi sekali lagi, ia bukanlah pertembungan terus antara kedua model berkenaan.

Ini membawa kepada satu lagi pilihan yang jarang-jarang disebut ketika membicarakan kapcai 125 cc; iaitu Suzuki Shogun Axelo 125 FI. Ini satu-satunya lawan paling hampir dan berada dalam kelas spesifikasi yang setara dengan Honda Future FI; enjin empat lejang sejukan udara, kapasiti 124 cc (Honda Future FI 124.9 cc) dan penggayaan juga mirip antara satu sama lain.

Namun, kedua-duanya seperti kerap terlepas pandang disebabkan kebanjiran model-model kapcai yang dijual dalam pasaran. Tetapi, itu tidaklah bermakna model kapcai dengan enjin 125 cc ini tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding yang lain. Paling tidak, ia tetap mempunyai satu sisi yang mendahului berbanding kapcai dengan enjin yang lebih kecil; tunggangannya lebih lancar dengan respon yang berkesan serta ‘lembut’.

Honda Future versi yang ada kini awalnya diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada 2013. Namun ketika itu, ia tidak dilengkapi ciri suntikan minyak PGM-FI. Ada tiga varian ditawarkan bagi versi lama ini; Future Single Disc (RM5,813), Future Double Disc (RM6,199) dan Future SE (RM6,305). Harga ini termasuk GST, tetapi tidak termasuk insurans.

Namun, pada Mei 2016, versi terbaharunya diperkenalkan, sama seperti unit yang ditunggang uji ini. Kali ini, ia dikenali dengan nama Honda Future FI; tampil dengan warna baharu, dan lebih penting, dilengkapi sistem suntikan minyak PGM-FI. Dua varian sahaja ditawarkan bagi versi terbaharu ini, dengan harga yang lebih sedikit; Future FI Single Disc (RM6,072) dan Future FI Double Disc (RM6,358). Harga yang dinyatakan adalah termasuk GST.

Apa kelebihan penggunaan sistem PGM-FI? Seperti yang anda mungkin sudah sedia maklum, peralihan kebanyakan kapcai-kapcai yang diperkenalkan daripada menggunakan sistem karburetor kepada sistem suntikan minyak adalah untuk dua sebab utama; pembakaran dalam enjin yang lebih cekap dan seterusnya menyumbang kepada penjimatan penggunaan minyak.

Honda Future FI dilengkapi dengan enjin 124.9 cc, sejukan udara, empat lejang yang menghasilkan kuasa 9 hp pada 7,500rpm dan 10 Nm tork pada 5,500rpm. Sama seperti kebanyakan kapcai lain, ia menggunakan kotak gear empat kelajuan jenis Constant Mesh.

Dari segi reka bentuknya, apa yang baharu berbanding model Future yang lama? Selain penggunaan sistem suntikan minyak, bahagian lampu, baik di hadapan atau pun di belakang, menerima sentuhan baharu. Tiga warna baharu turut ditawarkan sebagai pilihan; Vital Metallic Blue, Candy Scintillate Red dan Mariana Purple Metallic.

Bagaimana prestasi tunggangan motosikal ini? Sebagai sebuah kapcai, saya merasakan dari aspek ini ia tidak mengecewakan. Sebagai contoh, penyaluran kuasanya ketika pendikit dipulas dapat dirasakan serta-merta pada pergerakkan tayar belakang tanpa sebarang lengahan. Ini merupakan satu petunjuk yang baik; kuasa yang ada padanya mencukupi, sama ada untuk tunggangan santai mahupun ketika ingin meningkatkan kelajuan sebaik gear diturunkan, bagi tujuan memotong.

Ketika di atas jalan raya, tunggangannya tidaklah terlalu berbeza daripada mana-mana kapcai lain. Namun, jika dibandingkan dengan kapcai yang dilengkapi dengan enjin yang bersesaran lebih rendah, Future FI punyai kelebihan dari sudut respon dan kuasa yang diberikannya. Untuk mengawal pendikit, ia agak menyenangkan, terutama jika ada keperluan untuk menyelit dalam keadaan lalu lintas yang sesak.

Unit yang ditunggang uji ini adalah versi Future FI Double Disc, dengan berat 107 kg (versi Single Disc ialah seberat 105 kg). Dengan kuasa yang dihasilkan oleh enjin yang ada, tidak sedikit pun terasa ia terbeban ketika ditunggang; prestasinya boleh disifatkan memadai. Namun, dalam masa sama, ia bukanlah sebuah kapcai yang akan memberikan anda maklum balas yang terlalu agresif seperti sebuah jentera lumba.

Kemampuan membreknya perlu diberi pujian, terutama bagi versi yang dilengkapi dua brek cakera yang ditunggang ini. Saya tak pernah ragu-ragu dengan keupayaannya. Dalam keadaan basah, kadar tekanan yang dikenakan ketika membrek bagaimana pun perlu disesuaikan juga, jangan terlalu kuat kerana khuatir akan tergelincir.

Kelengkapan utiliti lain tidak ketinggalan. Ruang di bahagian bawah tempat duduk, yang digelar U-Box, menyediakan keluasan sehingga 18 liter. Ini membolehkan sebuah helmet penuh disimpan di dalamnya. Bagi tangki petrol pula, kapasiti yang disediakan ialah 5.4 liter; setakat yang sempat diperhatikan sepanjang empat hari menunggangnya, penggunaan minyaknya cukup jimat. Bagaimanapun, tiada paparan purata penggunaan minyak yang disediakan untuk mengetahui bacaan secara tepat.

Adakah Honda Future FI ini berbaloi untuk dimiliki? Sekiranya anda tidak terlalu cerewet dengan aspek prestasi, maksudnya jika tidak menjangkakan yang berlebihan misalnya dari sudut kelajuan maksimumnya, ia memang berbaloi sebagai mod pengangkutan harian kerana penjimatan yang diberikan. Kami jangka kos selenggaranya juga tidaklah terlalu mahal.

Kapcai ini juga didatangkan dengan tempoh jaminan yang diperpanjangkan. Jaminan dua tahun standard diberikan, dengan tambahan setahun lagi bagi jaminan bagi enjin. Dengan penawaran keseluruhannya, Honda Future FI punyai kelebihan dari segi penjimatan; tidak hanya dari sudut penggunaan bahan api, tetapi juga dari aspek harganya.

Penentunya adalah sama ada anda mampu bertolak ansur dengan reka bentuk keseluruhannya atau tidak sehingga membuatkan anda betul-betul ingin memilikinya? Bagi saya, ia sebuah alternatif yang akan memenuhi keperluan mereka yang tidak mahu membelanjakan terlalu banyak wang bagi sebuah kapcai yang cukup selesa dan berkuasa; Honda Future FI ini wajar menjadi satu daripada pilihan itu.