Sempena dengan Puma Night Run 2016 yang bakal berlangsung pada Sabtu ini, 20 Ogos 2016, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan beberapa laluan di sekitar Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, bakal ditutup secara berperingkat. Ia adalah bagi memberikan laluan kepada kerja persiapan dan sepanjang acara berlangsung.
Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, Persiaran Bandaraya di Dataran Kemerdekaan akan ditutup mulai Jumaat, 19 Ogos ini, dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam dan keesokannya pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Manakala laluan lain yang turut ditutup ialah Persiaran Perbandaran, Persiaran Damai, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Kayangan, mulai jam 8.30 malam pada Sabtu tersebut.
Sehubungan itu, MBSA menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke semasa yang diberikan oleh pihak terbabit. Malahan MBSA juga memohon agar pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak ditujui.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.