Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu syarikat yang berpengkalan di UK dan sebelum ini bertanggungjawab membina Proton Satria Neo S2000 telah berkongsi imej teaser jentera rali baharu binaan mereka iaitu Proton Iriz di laman Facebook MEM.

Tiada lagi perincian yang diumumkan, namun khabar angin mengatakan MEM membina Iriz ini berdasarkan regulasi FIA R5, iaitu kelas yang dipertandingkan dalam Kejohanan Rali Dunia-2 (WRC-2 atau sebelum ini dikenali sebagai S-WRC) dan ditetapkan perlu menggunakan enjin berkapasiti 1.6 liter dengan bantuan pengecas turbo, pacuan empat roda serta berat minima 1,230 kg.

Menerusi imej teaser ini, dapat disaksikan Iriz berkenaan masih lagi mengekalkan hud (dilengkapi dengan pin kunci), lampu hadapan serta gril asal. Bampar hadapan turut mengekalkan bentuk asalnya tetapi ia dilihat dilengkapi dengan sepasang splitter bersaiz besar dan bersambung terus dengan fender hadapan yang lebih lebar. Bahagian ‘dagu’ turut direka lebih tebal dan kemasan plastik pada gril bawah digantikan dengan gril mesh serta disembur dengan tulisan ‘Iriz’.

MEM membina Proton Satria Neo untuk Proton Motorsport sebelum ini berdasarkan regulasi FIA Super 2000 (S2000) yang menetapkan kapasiti enjin maksimum 2.0 liter tanpa pengecas turbo. Oleh itu, MEM menggunakan enjin Renault yang diambil dari Proton Waja 1.8 liter, dan membinanya semula agar mencapai kapasiti 2.0 liter, mengekstrak sejumlah 278 hp pada takat 7,600 rpm dan tork maksima 271 Nm pada takat 7,000 rpm.

Proton Satria Neo S2000 2012 Rally Sweden 1

Proton Satria Neo S2000 bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC) bermula tahun 2009 hingga 2011, S-WRC pada tahun 2012 dan Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) pada tahun 2010 hingga 2012. Kejayaan terbesar yang dicatatkan oleh Neo S2000 ini adalah pada APRC musim 2011 apabila pemandu mereka Alister McRae (adik kepada lagenda WRC mendiang Colin McRae) dinobatkan sebagai juara keseluruhan, tempat kedua keseluruhan juga disandang pemandu Proton Motorsport Chris Atkinson (bekas pemandu Subaru World Rally Team), dan secara tidak langsung Proton Motorsport juga dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar.

Walaupun Proton telah mengundur diri dari kejohanan rali antarabangsa, jentera-jentera Neo S2000 ini masih lagi digunakan untuk berlumba oleh pasukan-pasukan persendirian di kejohanan-kejohanan sekitar Eropah.

Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut berpeluang berlumba menggunakan Proton Satria Neo S2000 ini di beberapa pusingan Rali Malaysia pada tahun 2009 di bawah pasukan Proton R3, sebelum beralih ke Satria Neo 1.6L 2WD dan menjuarai APRC dalam kategori berkenaan pada tahun 2011 dan 2012.