Berhadapan dengan kesesakan trafik dan pencemaran udara yang kian meruncing, Hanoi, ibu negara bagi Vietnam, mengambil keputusan untuk melarang semua jenis kenderaan dua-roda daripada memasuki ibu kota tersebut mulai tahun 2025. Laporan Thanh Mien News menyebut, pengumuman ini dilakukan selepas satu mesyuarat mengenainya berlangsung pada Isnin lalu.
Malahan, keputusan ini diambil untuk membendung peningkatan kenderaan persendirian yang kian pesat, sekaligus mempromosikan lagi penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas di Hanoi. Difahamkan Hanoi bercadang untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan awam termasuk pembinaan sistem kereta api metro sedekad sebelum pengharaman itu dilaksanakan. Walau bagaimana pun, tiada maklumat diberikan mengapa kenderaan lain termasuk kereta tidak termasuk dalam larangan ini.
“Hanoi perlu menggandakan jumlah bas yang ada, yang buat masa ini hanya mampu menampung antara lapan hingga 10% permintaan bagi pengangkutan,” ujar Nguyen Phi Thuong, Pengerusi Lembaga Perkhidmatan dan Pengangkutan Hanoi, yang mengendalikan perkhidmatan bas awam di bandar berkenaan. Buat masa ini Hanoi memiliki 1,000 bas di jalan, dengan 17 juta penumpang menggunakannya setiap bulan.
Menurut statistik rasmi yang disebarkan pada tahun 2015, Hanoi memiliki 5.5 juta kenderaan berdaftar, dengan 4.9 juta daripadanya adalah motosikal dan skuter, dengan populasi sebanyak 7.7 juta di bandar berkenaan. Antara 8,000 hingga 20,000 motosikal baharu didaftarkan di Hanoi setiap bulan, manakala antara 6,000 hingga 8,000 unit bagi kereta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.