Menunggang dalam jerebu – bagaimana cara terbaik?

Riding Masks - tracking-1

Keadaan berjerebu dan kualiti udara yang semakin menurun nampaknya menjengah kita semula. Di Lembah Klang, semalam menyaksikan antara keadaan jerebu paling buruk tahun ini. Memandangkan situasi ini sukar dijangka, apa langkah-langkah yang perlu diambil oleh penunggang motosikal untuk berdepan dengannya?

Memandangkan penunggang lebih terdedah dan terkesan dengan suasana berjerebu ini, ada baiknya beberapa langkah berjaga-jaga diambil tidak jatuh sakit atau mencegah daripada masalah pernafasan.

Cara paling mudah adalah dengan menggunakan sarung penapis udara (face mask). Namun, tidak semua penapis berkenaan direka dengan kemampuan yang sama. Ada yang menggunakan sarung muka surgical yang dijual murah, RM3 bagi 10 helai. Tetapi, ia tidak mampu menapis udara dengan berkesan. Sarung berkenaan sebenarnya direka untuk memerangkap bakteria yang keluar dari mulut dan hidung dan bukan sebaliknya.

Ada juga sarung mulut ala cawan kertas yang dijual kurang RM2. Namun, ia hanya mampu menapis habuk kasar dan bukannya zarah halus yang terkandung dalam udara berjerebu.

Untuk tujuan menunggang, pilihan mudah untuk digunakan seharian ialah sarung pernafasan yang dari jenis N95. Kami membeli dengan harga RM6, N95 ini direka untuk manapis sehingga 95% bahan aerosol. ‘N’ pada namanya bermaksud ia tidak tahan terhadap minyak (oil-resistant).

Bagi perlindungan yang lebih baik, penapis jenis corong tunggal atau berkembar adalah lebih berkesan. Ia lebih lekap pada bahagian mulut dan hidung berbanding N95, dan dijual pada harga kira-kira RM22. Tambahan pula, bahagian penapisnya boleh ditukar bila perlu.

Bahagian penapis berkenaan dibezakan daripada jenis ‘N’, ‘R’ dan ‘P’. N bermaksud tidak tahan terhadap minyak, R pula tahan terhadap minyak dan P pula kalis minyak. Nombor padanya pula, seperti 95, 99 atau 100, adalah merujuk kepada peratusan penapisan yang mampu dilakukan oleh penapis berkenaan.

Daripada ujian yang dijalankan, semua jenis penapis yang dinyatakan ini boleh digunakan tanpa sebarang masalah dengan helmet biasa (open-face helmet). Namun, jika menggunakan helmet penuh, penapis jenis corong bukanlah pilihannya.

Jika hanya satu penapis sahaja yang boleh digunakan oleh semua penunggang, ia adalah N95; pelindungan yang agak baik dan mudah digunakan seharian. Ketika jerebu, selain pernafasan, mata penunggang juga perlu dilindungi. Jika terasa sakit mata atau gatal, bilas dengan air seberapa segera. Jika keadaannya bertambah buruk, dapatkan nasihat doktor.

Perlu juga diingat, ketika menunggang dalam keadaan demikian, jarak penglihatan juga menurun. Nyalakan lampu motosikal anda untuk meningkatkan keselamatan ketika di jalan raya.

Juga amat berguna untuk mengenakan pakaian dari warna yang cerah, atau boleh juga menggunakan jaket pemantul cahaya sepanjang masa. Dalam keadaa jerebu, elakkan tunggangan jarak jauh untuk elak keletihan. Minum banyak air kosong juga akan banyak membantu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required