Skuter konsep “City Adventure” atau Honda X-ADV yang membuat kemunculan sulung di EICMA Milan, Itali tahun lalu berkemugkinan besar akan diproduksi sebagai model keluaran 2017. “Skuter super” X-ADV ini bakal dikuaskan dengan enjin yang diambil dari Honda NC750X.
Enjin berkenaan, iaitu enjin 745cc bentangan dua silinder selari menghasilkan kuasa 54 hp dan tork maksima 68 Nm akan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT Honda.
Digelar sebagai “CR-V dalam dunia skuter” X-ADV menampilkan tempat duduk yang agak tinggi, memberikan sudut pandangan terbaik untuk penunggang, walaupun pada mulanya idea pembinaan skuter ini kedengaran agak janggal.
Pembinaan X-ADV bukanlah sekadar meninggikan sebuah skuter Honda Integra. Ia dibina dengan unsur-unsur dari model lagenda Honda Africa Twin, dipadankan dengan sepit udang lebih tinggi serta roda jejari lidi dibaluti tayar untuk kegunaan pelbagai permukaan.
Selari dengan itu, X-ADV turut dipadanakan dengan cermin pelindung hadapan lebih tinggi, pelindung tangan pada tuil di bahagian hendal dan juga paip ekzos yang mengikut bentuk badan skuter ini. Rekaan pada lengan ayun bahagian belakang juga direka semula agar ketinggiannya setara dengan bahagian hadapan, berbeza dari lengan ayun Integra yang hanya tegak kebelakang.
Kami menjangkakan X-ADV akan muncul sekali lagi pada acara EICMA tahun ini dalam versi yang lebih hampir kepada model produksi. Apa pendapat anda dengan skuter pelbagai guna ini? Adakah rekaan ‘pelik’ dari Honda ini akan mendapat tempat dalam pasaran?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.