Tidak seperti pengeluar dari Jepun atau dari Eropah yang cenderung menggunakan kotak gear dari pembekal seperti ZF atau Aisin, pengeluar dari Korea – Kia – lebih selesa untuk membina sendiri kotak gear bermula dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan automatik enam-kelajuan yang kini digunakan pada semua kenderaan keluaran mereka. Terbaharu, Kia telahpun mendedahkan transmisi terkini binaan mereka iaitu kotak gear lapan-kelajuan automatik untuk kenderaan pacuan hadapan (FWD 8AT).
Walaupun dengan nisbah tukaran gear yang lebih banyak, kotak gear lapan-kelajuan ini masih bersaiz sama dengan kotak gear enam-kelajuan terdahulu, dan juga 3.5 kg lebih ringan.
Sebelum ini, Kia sudahpun membina kotak gear lapan-kelajuan automatik tetapi untuk kegunaan model pacuan belakang – dipadankan pada model mewah seperti K900. Kini, teknologi berkenaan diolah semula agar dapat dipadankan pada kenderaan pacuan hadapan keluaran mereka pula.
Berbanding kotak gear terdahulu, kotak gear lapan-kelajuan baharu ini dibina lebih kompak dan membolehkan kenderaan memecut dengan lebih lancar dari kedudukan pegun, mencatatkan penggunaan bahan api yang lebih cekap, menambahbaikkan aspek NVH, serta mendapat prestasi pecutan yang lebih baik pada tahap kelajuan tinggi berbanding kotak gear dengan jumlah tukaran gear lebih kecil. Secara keseluruhan, 143 teknologi baharu telah dipatenkan menerusi pembinaan kotak gear baharu ini.
Unit transmisi baharu dari Kia ini dipadankan dengan pam bendalir paling kecil dalam kelasnya (pam kecil=beban kurang) dan juga unit valve body yang mengawal aliran tekanan bendalir dalam sistem hidraulik dengan binaan lebih mudah menerusi penggunaan solenoid kawalan terus ke klac, berbanding menggunakan beberapa injap kawalan. Langkah ini dapat mengurangkan jumlah keseluruhan dari 20 injap kepada hanya 12 injap. Hasilnya, tukaran gear kini dapat dilakukan lebih pantas dan kecekapan penggunaan bahan api turut meningkat.
Dengan pertambahan jumlah gear yang diberikan, nisbah antara gear paling tinggi dan gear paling rendah kini meningkat 34% berbanding kotak gear enam-kelajuan sebelum ini, membolehkan penggunaan bahan api lebih jimat dan tahap NVH yang dipertingkat pada gear tinggi serta pecutan dan prestasi memanjat yang lebih baik pada gear rendah.
Kotak gear ini akan muncul pada model produksi Kia bermula pada model Kia Cadenza 2017, dipadankan bersama enjin 3.3 liter V6 GDI. Selepas itu, ia akan turut dipadankan pada model Kia pacuan hadapan bersaiz sederhana besar dan besar yang lain, dan menjadi asas kepada pembinaan kotak gear lebih moden selepas ini.
GALERI: Kia Cadenza 2017
- 2017 Cadenza
- 2017 Cadenza
- 2017 Cadenza
- 2017 Cadenza
- 2017 Cadenza
- 2017 Cadenza
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.