Motosikal lasak premium jenama Husqvarna bukan sahaja dikeluarkan untuk orang dewasa malah juga anak muda. Sekiranya sudah mempunyai asas, ini adalah model yang boleh membawa mereka lebih kompetitif iaitu Husqvarna TC50 dan TC65. Syarikat dari Sweden ini baru sahaja memperkenalkan model 2017 bagi motosikal kategori junior ini.
TC50
Dari aspek penampilan,TC50 membawa gaya sama seperti model lain Husqvarna 2017 yang lebih besar tetapi ia dikuasakan oleh enjin dua lejang 50cc dan menggunakan rekaan tiga syaf yang dapat membawa crankshaft lebih rendah ke bumi.
Prestasi enjin kemudiannya disokong dengan kelengkapan lain seperti suspensi hadapan WP AER 35mm USD (terbalik), suspensi belakang monoshock WP boleh laras, rim aluminium, tayar Maxxis, brek cakera hidraulik hadapan dan belakang serta radiator yang besar.
TC50 menggunakan transmisi klac centrifugal automatik, bermakna penggunanya tidak perlu menarik klac untuk memasukkan gear. Selain itu, Husqvarna juga menawarkan pakej khas untuk merendahkan kuasa enjin motosikal ini.
TC65
Bagi TC65 pula, ia menggunakan enjin 65cc dua lejang dan digabungkan dengan transmisi manual enam kelajuan berserta klac hidraulik.
Kerangka motosikal ini menggunakan besi berkekuatan tinggi manakala subframe pula daripada aluminium dan lengan ayun daripada aluminium diperkuat (cast).
Pada bahagian suspensi hadapan, TC65 menggunakan unit WP AER 35mm yang boleh dilaras dengan pam angin manakala di bahagian belakang pula menggunakan monoshock WP boleh laras sepenuhnya.
Kedua-dua model ini akan dipasarkan bermula pada Januari tahun 2017.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.