Walaupun kini sedang memfokuskan dalam pelbagai usaha pemulihan untuk memncapai keuntungan, Proton Holdings Berhad masih mengutamakan kebajikan para pekerja-pekerjanya. Bertempat di Pusat Kecemerlangan PROTON di Subang Jaya, satu majlis telah diadakan untuk memperbaharui perjanjian bersama (Collective Agreement, CA) antara Proton dan ahli-ahli kesatuan pekerja mereka.
Perjanjian itu ditandatangani dan diputuskan pada 19 Ogos 2016 antara YBhg Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dan Presiden Kesatuan, En. Mohd Azmi Abu Bakar yang mewakili kakitangan kesatuan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) dan En. Ferdaus Mohni, Presiden Kesatuan yang mewakili pekerja kesatuan PROTON Tanjung Malim Sdn Bhd (PTMSB). Majlis berkenaan turut disaksikan oleh pengerusi PROTON, YBhg Dato’ Sri Syed Faisal Albar dan Mr. Fong Khei Por, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia.
Penjanjian ini boleh diperbaharui sekali setiap 3 tahun dan perjanjian yang dibuat sebelum ini telah tamat pada Disember 2015, justeru perjanjian baharu ini dibuat sebagai menggantikan perjanjian sedia ada. Dengan semangat “Pemikiran Satu Syarikat” dan “Pengurusan Kesatuan yang saling bermuafakat” perjanjian yang telah diperbaharui itu menandakan kerjasama yang baik dan persefahaman antara kedua-dua belah pihak.
Perjanjian bersama yang dibuat ini menyediakan beberapa penambahbaikan untuk pekerja antaranya termasuk pelarasan perintah gaji minimum baharu, insurans pekerja bagi kemalangan diri, sepanjang hayat, insurans perubatan dan faedah kematian.
“Melihat kepada kemampuan kami, PROTON sentiasa mengutamakan kebajikan dan faedah-faedah kepada para pekerja. Syarikat memahami bahawa untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam sesuatu perniagaan, syarikat itu sendiri perlu mendalami pekerjanya agar pekerjanya dapat berkhidmat dengan baik kepada para pelanggan.
“Kejayaan kebiasaannya diukur melalui kerjasama antara pasukan, memanfaatkan kelebihan dan kepakaran masing-masing untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan lebih baik untuk Syarikat.” jelas Dato’ Fuaad.
Perjanjian yang diperbaharui antara pihak pengurusan dan kesatuan ini merupakan kali ke-10 bagi PONSB dan kali ke-4 buat PTMSB.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.