Bermula 28 September 2016 hingga 3 Oktober 2016, Mazda Malaysia mengadakan Jelajah Jualan Mega di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya. Selain promosi jualan dan pelbagai aktiviti lain, Mazda juga ada memperkenalkan sebuah model khas yang lebih sporty iaitu Mazda3 Hatchback MS MazdaSport.
Ia dijual pada harga tambahan RM9,880 daripada harga asal RM124,754.39 (atas jalan dengan insurans) bagi Mazda3 Skyactiv 2.0L Hatchback dan ditambah dengan kelengkapan yang menjadikannya lebih sporty. Enjin pula masih sama iaitu unit Skyactiv 2.0L dan transmisi automatik Skyactiv Drive enam kelajuan, berkemampuan 162hp dan 210Nm tork.
Pada bahagian luar, Mazda3 Hatchback MS MazdaSport ditambah dengan kit badan menyeluruh – hadapan, sisi dan belakang, bersama penghadang angin di atas pintu but belakangnya. Kit badan ini berwarna hitam dan mempunyai garisan merah. Cermin sisi pula diwarnakan dengan warna merah. Selain itu, dua muncung ekzos yang terdapat pada kenderaan ini juga diperkemas dengan unit berjenama MS dan rimnya kini berwarna metalik lebih gelap.
Bahagian dalam juga lebih sporty, di mana tempat duduknya dibalut dengan kulit serta kemasan suede, bersama jahitan benang berwarna merah. Konsep sama turut digunakan pada trim pintu, stereng, tombol gear dan penarik brek tangan.
Menurut wakil Mazda yang berada di acara Jelajah Jualan Mega itu, Mazda3 Hatchback MS MazdaSport akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad dan setakat ini ia hanya boleh didapati bagi varian Mazda3 Hatchback berwarna putih sahaja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.