Perodua mengumumkan telah menjual sebanyak 150,900 unit kenderaan dalam masa sembilan bulan pertama tahun ini dan perkongsian pasaran syarikat itu dalam jumlah keseluruhan industri dari awal tahun hingga kini adalah pada 36.1%.
Memacu prestasi baik ini sudah tentu adalah model sedan pertama syarikat itu, Bezza. Ia diterima baik dengan jumlah keseluruhan yang telah disampaikan kepada pelanggan adalah sebanyak 20,000 unit – jumlah penyampaian paling tinggi dalam masa 90 hari bagi Perodua dari hari pelancarannya 21 Julai lalu.
“Kami berterima kasih kepada pelanggan yang mengambil Perodua sebagai jenama pilihan dan kami memberi jaminan akan menghantar Bezza khususnya, dalam masa yang paling singkat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid.
Di sebalik semua kejayaan ini, jumlah jualan kenderaan dari awal tahun hingga ke masa ini menurun 4.2%, di mana pada tahun sebelum ini Perodua mencatat 157,400 unit bagi tempoh waktu sama. Jualan suku ketiga sebanyak 45,300 unit juga menunjukkan penurunan 7.5% daripada 49,000 unit yang dicatat pada Q3 2015. “Dalam perbandingan tahun ke tahun, kami masih lagi optimis akan mengurangkan jurang defisit jualan lebih lagi,” kata Aminar.
Sementara itu, servis selepas jualan telah menunjukkan peningkatan, dengan 1.5 juta kenderaan memasuki 201 pusat servis mereka di seluruh negara antara bulan Januari hingga September. Ini adalah peningkatan daripada jumlah 1.45 juta yang direkod tahun lalu.
Untuk pengeluaran pula, Perodua telah menghasilkan 153,700 buah kenderaan untuk tahun ini, dan ia adalah penurunan sebanyak 9% berbanding jumlah sebanyak 168,300 yang dihasilkan bagi sembilan bulan pertama tahun 2015. Ini juga menunjukkan pasaran yang perlahan. “Kami percaya suku keempat tahun ini akan jadi lebih mencabar berikutan keadaan ekonomi sekarang dan aktiviti jualan pesaing lain,” tambah Aminar.
Beberapa inisiatif meningkatkan jualan telah dipersiap untuk suku keempat tahun ini dan antaranya adalah rebat RM2,000 bagi varian Alza tertentu dan RM4,200 untuk model Myvi tertentu dari sekarang hingga 31 Oktober.
Perodua juga mengadakan pertandingan Pandu Uji dan Menang sehingga 31 Disember, yang menawarkan peluang memenangi hadiah utama sebuah Perodua Bezza Advance dengan pakej GearUp, bersama 30 hadiah percutian lima hari empat malam ke Shanghai yang akan diberi setiap bulan. Hadiah lain yang turut ditawarkan adalah TV LED pintar Samsung 43 inci, Sony PlayStation 4 dan Apple Watch.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.