Kerja-kerja pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (GITT) akan dimulakan bulan hadapan, dan kemudahan itu dijangka siap dan memulakan operasi pada suku kedua 2019 nanti, memetik laporan The Sun hari ini.
Disasarkan untuk menjadi hab pengangkutan bagi sektor timur laut Kuala Lumpur, maksimum sebanyak 700 perjalanan bas yang mampu menampung 22,000 pengguna sehari, GITT bakal menawarkan integrasi pengangkutan antaranya dengan stesen LRT Gombak dan menjadi titik penting aktiviti transit bagi East Coast Rail Link (ECRL).
Ketika pembentangan belanjawan 2017 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan GITT akan menjadi sebahagian daripada stesen bagi projek dua landasan ECRL yang bernilai RM55 bilion yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur.
Projek yang tergendala sejak 2011 itu akan diteruskan selepas pertikaian dan proses ambil tanah antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor sudah dapat diselesaikan kini. Kerja-kerja bagi kompleks terminalnya terdiri daripada dua bahagian; bangunan terminal utama dan pelebaran serta naik taraf jalan raya bagi Middle Ring Road 2 (MRR2).
Ia merangkumi bangunan termina tujuh tingkat, blok SoHo perdagangan serta lot peniaga runcit dengan keluasan kira-kira 220,000 meter persegi. Antara kemudahan yang ada ialah sistem pusat bagi pembelian tiket bas, 950 ruang parkir dan kawasan menunggu bagi 80 buah bas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.