Toyota panggil semula 5.8 juta kenderaan berhubung isu pengepam beg udara Takata, termasuk yang pernah dipanggil sebelum ini – laporan

2010-toyota-corolla-altis

Nampak gayanya Toyota telah memperkembangkan jumlah panggilan semula bagi masalah pengepam beg udara buatan Takata. Kini, ia telah merangkumi sejumlah 5.8 juta kenderaan yang terlibat di seluruh dunia, termasuk sebahagian daripadanya telah pun dipanggil sejak tahun 2010, menurut laporan Reuters. Ia dilakukan selepas Takata bersetuju untuk mengesahkan lebih banyak komponen beg udara yang terjejas dan melibatkan sejumlah besar panggilan semula di seluruh dunia.

Isu beg udara ini berpunca daripada penyusutan bahan dorongan (propellant degradation) selepas terdedah dalam jangka masa lama terhadap kelembapan udara dan suhu. Pengepam berkenaan mengandungi bahan daripada ammonium nitrate yang berupaya menyebabkan keretakan pada modul berkenaan. Jika ini terjadi, serbihan logam akan menembusi bahagian beg udara ketika ia menggelembung dan akan terhambur ke dalam kabin, mampu menyebabkan kecederaan atau kematian.

Setakat ini, ia telah menyebabkan 16 kematian di seluruh dunia, kebanyakannya di Amerika Syarikat, dan empat daripadanya berlaku di Malaysia.

Panggilan terbaru yang dilakukan adalah melibatkan model kenderaan yang dipasang antara Mei 2000 dan November 2001 dan antara April 2006 dan Disember 2016, termasuklah Corolla, Yaris, Vios, Hilux dan Etios.

Sehingga kini, sebanyak 5.8 juta kenderaan model Toyota telah terlibat, iaitu 1.16 juta di Jepun, 820,000 di China dan 1.47 juta di Eropah. Malah ia turut melibatkan Amerika Selatan, Amerika Tengah, Afrika, Timur Tengah, Singapura dan Malaysia.

2009-toyota-vios-trd-sportivo

Di negara ini, terbaru UMW Toyota membuat panggilan semula pada Khamis lalu yang melibatkan hampir 80,000 kenderaan. Ia melibatkan penggantian pengepam beg udara bahagian pemandu dan/atau penumpang bagi beberapa model utama. Antaranya ialah Vios, Corolla Altis, Yaris dan Alphard yang dikilangkan antara Oktober 2007 hingga Disember 2011.

Ini termasuklah 20,000 kenderaan yang telah pun digantikan dengan pengepam beg udara baharu sejak terlibat dengan panggilan semula pada 2010. Penguatkuasa pengangkutan seluruh dunia kini telah membuat keputusan, mana-mana pengepam beg udara yang tidak didatangkan dengan ejen pengering adalah tidak selamat dan mengarahkannya agar ia ditarik semula daripada pasaran.

Sehingga kini, kesemua pengeluar kenderaan yang terlibat dengan masalah pengepam beg udara Takata telah melakukan hampir 100 juta panggilan balik di seluruh dunia. Malahan pembuat beg udara tersebut kini sedang mencari pelabur kewangan untuk menampung liabiliti yang besar hasil panggulan balik ini.

Bagi pelanggan Toyota di Malaysia yang terlibat, perlulah menghubungi pusat servis Toyota atau memaklumkan ke talian Toyota Freephone di 1800-8-TOYOTA (869682). Toyota juga kini sedang dalam proses mengemaskini pangkalan data VIN dan pemilik boleh memeriksa nombor VIN kenderaan mereka di laman khas berkenaan.

Bagaimana pula dengan model Toyota yang bukan dibawa masuk melalui pengedar rasminya? Merujuk kepada model-model grey import yang mungkin terlibat sama, terutama bagi pemilik model Alphard dan Vellfire yang dikilangkan dalam tempoh sama (Oktober 2007 dan Disember 2011), mereka juga akan turut dilindungi serta terlibat dalam kempen ini. Namun, keutamaan akan diberikan kepada pelanggan UMW Toyota terlebih dahulu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required