Selepas menunjukkan model CBR1000RR SP 2017 dan SP2 di pameran INTERMOT, Honda kini membawa pula model versi ‘permulaan’ motosikal sama iaitu CBR1000RR Fireblade 2017 ke pameran EICMA di Milan, Itali. Dengan pendedahan tiga model ini, Honda jelas cuba bersaing kembali dalam pasaran motosikal kelas satu liter selepas CBR1000RR sebelum ini kelihatan kurang bermaya selama enam tahun.
Masih lagi menggunakan enjin 999 cc DOHC empat silider sebaris dengan kuasa 189 hp sama seperti model SP dan SP2, Fireblade 2017 walaubagaimanapun tidak dilengkapi dengan suspensi separa aktif dan hanya menggunakan unit Big Piston Fork (BPF) di hadapan dan penyerap Balance Free Rear Cushion (BFRC) di belakang. Kedua-duanya adalah daripada Showa.
Kelengkapan elektronik juga masih banyak pada Fireblade 2017, termasuk kawalan cengkaman sembilan tahap, tiga mod tunggangan, sistem cornering ABS, wheelie control dan juga rear-lift control.
Untuk mod tunggangan, tiga pilihan disediakan iaitu Track, Winding dan Street – dan setiap satu daripadanya mempunyai kombinasi berbeza bagi tindak balas pendikit, kuasa enjin dan engine braking. Informasi penting kemudiannya dipaparkan pada skrin TFT-LCD berwarna dan tahap keterangannya boleh dilaras secara automatik mengikut keadaan semasa.
Selain itu, Honda Electronic Steering Damper (HESD) juga didatangkan secara standard untuk motosikal ini ia boleh melaras kuasa yang diperlukan untuk memusingkan pemegang secara automatik, bergantung kepada kelajuan dan keperluan penunggang. Setakat ini masih belum ada sebarang tanda harga bagi Honda CBR1000RR Fireblade dan hanya satu warna sahaja disediakan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.