Yamaha juga membawa sebuah model berkonsepkan Rali Dakar ke EICMA tahun ini melalui penampilan T7 Concept. Syarikat pengeluar dari Jepun ini sudah mempunyai pengalaman dalam Rali Dakar selama 33 tahun dan walaupun ia adalah sebuah model konsep, pastinya satu model produksi akan dikeluarkan, paling dekat adalah untuk menggantikan model Tenere XT660.
Yamaha T7 Concept menggunakan enjin CP2 700 cc dua silinder sebaris daripada model MT-07 yang berkuasa 74 hp dan ia diletakkan pada kerangka baru, secara keseluruhannya mencatat berat 180 kg. Jumlah ini berjaya didapati dengan penggunaan tangki minyak aluminium, fairing dan penghadang lumpur karbon, ekzos khas dari Akrapovic serta lampu hadapan LED kompak.
Model ini kelihatan bersedia untuk menyahut cabaran di atas jalan lasak dan dibuktikan dalam video yang dikeluarkan oleh Yamaha Europe. Sistem suspensinya menggunakan unit daripada KYB manakala rim pula adalah bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.
Model produksi dijangka berada di pasaran menjelang tahun 2018, dan harapannya, Yamaha tidak akan pergi jauh daripada rekaan motosikal konsep ini kerana ia jelas kelihatan garang dan pada masa sama cukup moden.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.