PANDU UJI: Chevrolet Colorado 2.8 High Country facelift – hadir dengan wajah baharu, lebih radikal

2016-chevrolet-colorado-2-8-high-country-3

Memeriahkan lagi pasaran kenderan pikap di Malaysia dengan kehadiran Chevrolet Colorado baharu yang telah pun dilancarkan pada 20 Oktober lalu. Walau pun ia tidaklah sepopular Toyota Hilux, Ford Ranger, Isuzu D-Max, Nissan Navara mahu pun Mitsubishi Triton, namun kehadiran Colorado baharu ini tidak wajar dipinggirkan.

Bagi model baharu ini, ia ditawarkan dengan lima varian bersama tiga pilihan enjin. Varian yang menerima padanan enjin paling berkuasa ialah High Country (spesifikasi tertinggi), Standard LTZ (AT) dengan 2.8L Duramax empat-silinder turbodiesel dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT). Ia mampu menawarkan kuasa sehingga 193 hp dengan tork 500 Nm. Malahan tujahan 500 Nm yang boleh dikatakan cukup berkuasa ini adalah yang tertinggi di dalam kelasnya.

Manakala varian Standard LT (AT) dan Standard LTZ (AT) dipadankan dengan enjin 2.5L Duramax empat-silinder turbodiesel (VGT) dengan kuasa kuasa sehingga 180 hp dan tork 440 Nm. Keempat-empat varian tersebut turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersama fungsi mod manual.

2016-chevrolet-colorado-2-8-high-country-59

Manakala bagi varian Standard LT (MT) iaitu paling asas yang dilengkapi enjin 2.5L tetapi diadunkan dengan turbo-diesel FGT berkuasa 163 hp dan tork 380 Nm serta dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Kami telah diberi kesempatan untuk menguji dan melenjan Colorado baharu ini dalam sesi pandu uji bersama media permotoran termasuk mengharungi laluan off-road di Maran, Pahang, berhampiran dengan kawasan air terjun Jerangkang.

Diberi peluang untuk mencuba varian High Country yang menerima spesifikasi penuh, pastinya hamburan kuasa yang tercetus lebih berprestasi berbanding dengan enjin 2.5L. Apatah lagi pada saat lonjakan kuasanya amat ditagihkan.

Walau pun begitu, ada masa-masanya penggunaan mod manual ditagih bagi mendapatkan lonjakan kuasa yang lebih memuaskan hati. Apatah lagi perubahan nisbah gearnya lebih senang dicapai berbanding transmisi automatik konvensional yang sedikit perlahan terutamanya pada gear rendah.

20161011_0044

Permulaan perjalanan dengan merentasi Lebuhraya Karak menuju ke Pantai Timur tidak ketinggalan di dalam memberikan ungkapan rasa mengenai pikap ini. Sama seperti model terdahulu iaitu Colorado Muscle yang dipasarkan pada 2014 yang pernah diuji sebelum ini, angka kuasa kuda dan tork kedua-dua angkatan ini adalah sama. Malah varian ini juga boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam masa 10 saat dan mampu mencecah kelajuan sehingga 180km/j.

Malahan ia turut menampilkan unit komputer atau ECU yang mengendalikan prestasi enjin dibangunkan sendiri oleh pengeluarnya, dengan matlamat untuk mengoptimumkan integrasi antara perisian dan operasi enjinnya.

Antara kelebihan Colorado baharu ini adalah ia dipadankan dengan titik mounting baharu terutamanya pada enjin dan bahagian badannya. Impaknya, ia mengurangkan pergerakan antara kabin dan casis yang menyumbang kepada dinamik pemanduan yang lebih baik. Ini memang cukup dirasai sewaktu pengendaliannya.

Selain itu, ia turut mempengaruhi NVH (Noise, Vibration and Harshness) dengan julat yang lebih rendah iaitu 2-5 db menjadikannya lebih senyap, dengan gegaran yang juga berkurangan. Walau bagaimana pun, ketika pedal pendikit ditekan lebih untuk melonjakkan lagi kelajuan jentera, bunyi enjin lebih membingit dan menyerap masuk ke dalam kabin. Namun tatkala kelajuan yang diingini sudah dicapai, bunyi bising ini kian berkurangan.

20161011_0082

Sistem suspensi baharu yang digunakan juga memberikan lebih keselesaan terutamanya pada penumpang. Bagi bahagian hadapan, ia dipadankan dengan independent double wishbone bersama pegas dan penyerap hentak gas. Manakala bahagian belakang pula ditampilkan pegas dedaun dengan pad keluli separuh bujur bersama penyerap hentak gas.

Ketegaran dan kestabilan pikap ini juga lebih dirasai tatkala merentasi laluan berselekoh biar pun pada kadar pecutan yang agak tinggi. Bukannya mahu mencabar penguasaan kestabilannya, tetapi ia agak meyakinkan. Apatah lagi bila merentasi Lebuhraya Karak yang banyak selekohnya, tatkala inilah kestabilan Colorado baharu ini mula teruji.

Biar pun Chevrolet menyatakan bahawa padanan sistem suspensinya diperbaharui bagi memberikan lebih keselesaan terutamanya pada penumpang, namun sebenarnya kesan bumpy dan olengan masih boleh dirasai terutamanya bagi penumpang di belakang. Apatah lagi sekiranya merentasi permukaan yang beralun atau kurang rata.

Namun ini sudah menjadi sebahagian daripada karakter jentera pikap seperti ini terutamanya jika tiada muatan pada bahagian kargo, antara ia dirasai secara sederhana atau pun…parah! Namun bagi Colorado baharu ini, ia boleh diklasifikasikan sebagai sederhana sahaja.

20161011_0107

Memasuki laluan off-road, Colorado baharu tiada halangan untuk melepasi rintangannya. Dengan kuasa 4WD bersama butang 4H, pikap ini dilenjan sehabis mungkin, biarpun laluan off-road ini boleh dikategorikan sederhana, kurang laluan berlecak atau licin.

Sistem kawalan stereng berkuasa baharu juga banyak membantuk mengawal pengendalian jentera ini. Malah kawalan sterengnya dirasakan lebih pantas memberikan respons yang dikehendaki.

Walau bagaimana pun, sewaktu mendaki bukit antara kecuraman 20 hingga 30 darjah, sistem Bantuan Mula Mendaki (HSA) begitu membantu. Ia mampu mendaki bukit dengan pantas, tidak bimbang pikap ini akan mengundur ke bawah. Begitu dengan teknologi tambahan bagi model ini iaitu Bantuan Menurun Bukit (HDC) yang juga membantu jentera menurun bukit dengan lebih selamat dengan tidak sewenang-wenang mengelungsur.

Selain itu, beberapa elemen keselamatan seperti Kawalan Cengkaman, dan dua teknologi baharu iaitu Panic Brake Assist serta Anti Rolling Protection juga sangat membantu dalam pengendalian Colorado baharu ini. Sekali gus membuahkan tahap keyakinan yang lebih tinggi apabila mengendalikannya dalam apa jua situasi jalan.

Walau pun hanya menggunakan tayar standard bersaiz 265/60 R18, ia masih tidak menghalangi rentasi laluan off road ini, termasuk menyeberangi anak sungai yang berbatu-batu.

2016-chevrolet-colorado-2-8-high-country-2

Berbanding dengan model Colorado Muscle 2014, Colorado baharu ini lebih panjang sebanyak 14 mm (menjadi 5,361 mm), 10 mm kurang lebar (kini 1,872 mm), lebih tinggi sebanyak 59 mm dan mengekalkan jarak rodanya iaitu 3,096 mm.

Colorado ini turut dikenali sebagai trak pikap bersaiz sederhana dan mudah untuk dikendalikan. Malah jika terpaksa membuat pusingan U, tidak menyukarkan. Malah juga tidak sukar untuk memarkirnya, cuma adat bagi trak pikap jika melalui laluan yang sempit, pasti kena lebih berhati-hati.

Bagi kit keselamatannya, selain elemen yang dinyatakan di atas, ia disertakan dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, EBD, Bantuan Parkir Hadapan/Belakang, Kepekaan Perlanggaran Hadapan, Amaran Penukaran Lorong, Bingkai Kerangka Ketahanan Tinggi dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar.

Selain itu, Colorado baharu ini juga dilengkapi dengan beg udara SRS untuk pemandu dan penumpang hadapan, beg udara di bahagian lutut pemandu, sistem amaran pemakaian tali pinggang keledar, dan Isofix. Ia juga telah menerima penarafan lima-bintang daripada ANCAP dan ASEAN NCAP.

Melihat penampilannya, ciri maskulin memang menyerlah. Rekaan hud yang agak agresif menyerlahkan lagi penampilan bahagian hadapannya apatah lagi dilengkapi dengan lampu utama halogen automatik dengan lampu nyalaan siang LED baharu dan sistem Follow Me Home.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sports bar baharu, rim aloi bersaiz 18-inci , lampu belakang LED dan kemasan krom pada pemegang pintu.

Bagi trunk bed untuk Colorado baharu ini, ia berukuran 1,534 mm lebar, 1,484 mm panjang dan setinggi 456 mm.

Memasuki ruang kabinnya, konsep yang lebih mesra pengguna dipersembahkan. Papan pemukannya ditampilkan dengan rekaan baharu dengan sentuhan yang lebih premium dan susunan butang kawalan yang lebih diperkemaskinikan.

Malahan konsol tengah juga tampil dengan rekaan baharu bagi memudahkan lagi kendalian pengguna. Material yang digunakan pula adalah daripada jenis soft touch untuk tampil lebih premium.

2016-chevrolet-colorado-2-8-high-country-29

Ia turut dilengkapi sistem hiburan Chevrolet MyLink dengan paparan skrin sentuh warna bersaiz lapan inci, serta capaian Bluetooth serta aplikasi Apple Carplay; yang pertama bagi segmennya. Ia membolehkan pengguna telefon pintar Apple memaparkan versi ringkas skrin telefon mereka pada skrin sentuh kederaan ini. Ia juga melibatkan ciri Siri Eyes Free dan perisian pengecaman suara untuk menerima input daripada pengguna.

Ia juga kini turut dilengkapi dengan ciri Remote Engine Start. Ia membolehkan enjinnya dihidupkan melalui kawalan jauh agar sistem penghawa dingin dapat berfungsi untuk menyejukkan kabin terlebih dahulu dalam keadaan pintu masih kekal terkunci sepenuhnya. Selain itu, ia juga mempunyai ciri Auto Rain Sensor dan lampu utama automatik.

Ciri Comfort Closing Window pula menjadi satu ciri yang akan membuatkan cermin tingkap turut sedikit ketika pintu dibuka atau dikunci. Ini bagi mengelakkan terhasilnya ruang vakum dan membolehkan pintu ditutup dengan mudah dan lembut.

Colorado baharu ini didatangkan dengan senarai harga seperti berikut; Standard LT (MT) – RM99,911, Standard LT (AT) – RM107,948, Standard LTZ (AT) – RM115,031. Sementara itu bagi enjin 2.8 liter pula; Standard LTZ (AT) – RM124,916 dan High Country – RM132,874. Semua harga yang dinyatakan ini ialah harga atas jalan, termasuk GST dan insurans serta cukai jalan bagi pendaftaran individu.

Dengan kelebihan yang ditampilkan termasuk berwajah yang lebih segar dan dipertingkatkan pada bahagian luar dan dalam, dengan menawarkan pelbagai elemen baharu termasuk Apple CarPlay, Kepekaan Perlanggaran Hadapan, dan Amaran Penukaran Lorong, memang ia mampu dijadikan ‘selling point’ buat Colorado baharu ini.

Bukan itu sahaja, pertaruhan jumlah tork sehingga 500 Nm iaitu yang tertinggi dalam kelasnya juga mampu dijadikan tarikan utama. Walau pun Chevrolet bukan jenama yang terkenal dengan trak pikap di Malaysia, namun hakikatnya, kehadirannya di sini sebenarnya mampu memberikan persaingan sengit buat barisan model seangkatannya.

Chevrolet 2.8 High Country

Chevrolet Colorado 2.5 LTZ

Chevrolet Colorado dengan aksesori

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Radov on Nov 30, 2016 at 2:11 pm

    dah pandu uji 2.5 & 2.8. secara umumnya semua ok, cuma smart key/key less takde…kurang lah sikit.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required