Honda Jazz Sports Hybrid dipamerkan – teaser sebelum dipasarkan secara rasmi di Malaysia?

honda_jazz_hybrid-1

Selepas pelancaran Honda Jazz generasi ketiga untuk pasaran Malaysia dua tahun lalu, tiada lagi kedengaran ura-ura dari Honda Malaysia untuk membawa varian hibrid hatchback segmen-B tersebut ke pasaran Malaysia. Namun, apa yang mengejutkan di booth Honda pada Malaysia Autoshow 2016 hari ini, sebuah Honda Jazz GK Sports Hybrid i-DCD turut dipamerkan dengan pelekat penyamaran.

Selain menerima pelekat penyamaran pada keseluruhan badan, ia juga turut diberikan filem penapis cermin yang sangat gelap -menyukarkan kami untuk melihat bahagian dalamannya. Namun, pengunjung boleh melihat unit janakuasa hibrid kereta ini kerana hud enjinnya memang dibuka untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Jazz GK hibrid menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 110 PS/134 Nm bersama motor elektrik berkuasa 29.5 PS/160 Nm dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion.

Kuasa dialirkan ke roda hadapan bukan melalui kotak gear CVT, tetapi model ini menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Transmisi ini bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

honda_jazz_hybrid-3

Ia juga turut dilengkapi dengan servo brek elektrik bagi meningkatkan kecekapan proses regenerative braking untuk mengecas semula bateri lithium-ion sistem berkenaan. Kompresor penghawa dingin elektrik sepenuhnya juga diberikan bagi mengurangkan beban pada enjin. Kesemua sistem ini memberikan kecekapan bahan api lebih baik kepada Jazz Hybrid sehingga 35% bagi mencapai bacaan 36.4 km seliter.

Berdasarkan model Jazz (Fit) Hybrid di Jepun, bahagian luaran model ini adalah seiras dengan varian petrol dengan hanya perbezaan pada emblem. Bahagian dalaman juga kelihatan hampir seiras dengan Jazz V, kecuali tuil penukar gearnya ditukar kepada unit yang lebih pendek dan futuristik.

Tiada lagi pengumuman rasmi dari Honda sama ada akan memasarkan atau tidak model ini di Malaysia. Tetapi, unit bateri lithium-ion yang terletak di bahagian ruang kargo belakang nampaknya sudahpun diletakkan dengan pelekat-pelakat amaran bukan sahaja dalam bahasa Inggeris dan Thai, malah ia turut hadir dengan amaran berbahasa Melayu.

Dengan papan tanda “Prototype Sports Hybrid” yang berada di sebelah kereta ini, adakah ia sebuah model ujian pasaran Malaysia yang sudah bersedia untuk di produksi? Jazz GK Hybrid ini juga belum lagi dipasarkan dimana-mana negara di ASEAN termasuk Thai.

Ada dua kemungkinan di sini. Pertama, Jazz Hybrid untuk pasaran Malaysia akan dipasang di kilang Honda Pegoh, Melaka bagi membolehkan ia menerima penarafan EEV serta mendapat pengecualian cukai agar ia boleh dijual dengan harga yang kompetitif. Manakala untuk pasaran negara ASEAN lain pula akan di pasang Thailand.

Kemungkinan kedua pula, kilang Honda Malaysia akan memasang Jazz Hybrid ini bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah turut akan dieksport untuk pasaran negara ASEAN lain. Langkah ini adalah sejajar dengan langkah diambil oleh Mazda dan Volvo yang memasang kenderaan mereka di Malaysia untuk dieksport ke pasaran ASEAN lain. Jika ini berlaku, Jazz Hybrid merupakan model pertama yang diproduksi oleh Honda Malaysia untuk dieksport keluar, dan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama diluar Jepun yang bukan sahaja memasarkan model ini, bahkan turut memproduksinya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required