Final Fantasy adalah satu permainan yang cukup popular sekian lama dan selepas 30 tahun wujud, ia masih lagi mempunyai pemain tegarnya. Dengan populariti seperti itu, pengeluar kenderaan dari Jerman iaitu Audi mengeluarkan edisi khas R8 Star Of Lucis, dengan kerjasama syarikat pembangun permainan tersebut, Square Enix bagi menyambut edisi permainan Final Fantasy XV.

Ia bukan sekadar kenderaan pameran, malah juga akan dibuka untuk jualan tetapi di Jepun sahaja pada harga 50,000,015 yen (hampir RM2 juta). Harganya memang mahal dan daripada promosi yang dibuat, ini sememangnya seperti kenderaan yang datang daripada dunia Final Fantasy dan ‘boleh menakutkan raksasa’.

Audi R8 Star Of Lucis menggunakan enjin 5.2 liter V10 yang dipadankan dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan dan berkemampuan menghasilkan hingga 610 hp. Ia kemudiannya digayakan dengan pelbagai corak berkaitan dunia Final Fantasy termasuk rim buatan khas lambang Lucis. Warna keseluruhan yang dipilih adalah Ultrossic Black.

Kita mungkin pernah mendengar orang yang kerjanya bermain permainan video dan memenangi hadiah pertandingan sehingga berjumlah jutaan dolar. Jika ada, mungkin membeli kereta seperti ini adalah cara untuk mereka membelanjakan wang tersebut.