mrt-train-1_bm

Rapid Rail Sdn Bhd, yang akan mengendalikan MRT Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) di bawah jenama perkhidmatan Rapid KL, telah mengumumkan struktur penuh tambang perkhidmatan berkenaan. Tambang nominal minima RM1 dikenakan untuk perjalanan satu hentian berdasarkan kepada struktur tambang tanpa tunai dan RM1.10 mengikut struktur tambang tunai iaitu perjalanan antara stesen Pasar Seni dan Merdeka.

Tambang maksima adalah RM6.40 berdasarkan kepada struktur tambang tunai, dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai, meliputi perjalanan penuh antara Sungai Buloh dan Kajang, sepanjang 51 kilometer dan melalui 31 stesen.

Fasa 1 Laluan MRT SBK dijangka beroperasi dari 16 Disember 2016; meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan. Manakala Fasa 2 Laluan MRT SBK, meliputi baki 19 stesen antara Semantan dan Kajang pula dijadualkan untuk beroperasi pada pertengahan Julai tahun depan.

mrt-station-kwasa-damansara_bm

Untuk tambang nominal bagi perkhidmatan bas pengantara MRT pula, penumpang akan dikenakan bayaran RM1 untuk satu perjalanan. Sebanyak 120 bas pengantara MRT akan beroperasi untuk memberi perkhidmatan kepada 26 laluan bagi semua 12 stesen MRT yang dibuka di bawah Fasa 1.

Menurut Rapid Rail lagi, Fasa 1 Laluan MRT SBK akan beroperasi secara sendirian, tanpa integrasi dengan rangkaian LRT dan monorel sekarang. Oleh itu, para pengguna MRT akan melalui pintu masuk dengan menggunakan token tunai ataupun Kad Touch n’ Go sahaja. Kad-kad MyRapid, yang kini digunakan untuk perkhidmatan LRT, monorel dan bas Rapid KL, akan dinaikkan taraf secara berperingkat sebelum pembukaan Fasa 2 Laluan MRT SBK pada Julai depan.

“Struktur tambang sudah diluluskan oleh Kerajaan dan adalah berdasarkan kepada bayaran masuk nominal atau ‘nominal flag fall’ dengan kadar menurun untuk setiap empat hingga lima kilometer perjalanan – sama seperti struktur tambang untuk perkhidmatan LRT dan monorel yang dikendalikan oleh Rapid Rail,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato’ Ir Zohari Sulaiman.

mrt-sbk-fare-table-cashless_bm
mrt-sbk-fare-table-cash_bm

Klik untuk besarkan

Menurut beliau lagi, seperti yang diamalkan untuk perkhidmatan LRT, monorel, dan bas Rapid KL, diskaun 50 peratus akan diberikan untuk tambang tunai kepada warga emas, pelajar dan golongan OKU dan mereka hanya perlu menunjukkan Kad Pengenalan, kad pelajar (sekiranya tidak memakai uniform), atau Kad OKU ketika menggunakan perkhidmatan MRT dan bas pengantara MRT. Manakala kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun pula boleh naik secara percuma.

“Warga emas, pelajar dan golongan OKU boleh membeli token konsesi berwarna merah daripada Pejabat Perkhidmatan Pelanggan di setiap stesen MRT,” kata Zohari.