TUNGGANG UJI: Vespa S125 – skuter retro moden dengan penawaran teknologi terbaik untuk harganya?

vespa-s125-bm-37

Apa yang menarik tentang tentang Vespa S125? Jika ada yang mengajukan soalan ini, terutama ketika berbual dengan teman-teman yang nampak sangat berminat untuk membeli sebuah skuter – dan Vespa sudah tentu berada dalam senarai teratas – saya sendiri tertanya-tanya jawapan yang bagaimana patut diberi dan dapat menjawabnya dengan cara yang padat, ringkas dan memuaskan.

Selepas beberapa ketika berkesempatan mencubanya untuk tempoh seminggu tempoh hari, saya mungkin sudah berjumpa jawapan yang harapnya dapat berlaku adil; pertama, kepada skuter dengan rekaan retro ini, dan kedua kepada individu yang ingin tahu tentangnya.

Jawapannya mudah, untuk beberapa ketika pengenalan model-model Vespa moden yang pernah dipasarkan di Malaysia, Vespa S125 merupakan yang pertama dengan kapasiti enjin 125 cc. Sebelum ini, jika tidak silap ingatan, skuter Vespa di Malaysia sebelum ini hanya ditawarkan dalam kapasiti 150cc sebagai enjin yang paling rendah.

Bagaimana kapasiti enjin yang lebih rendah menjadi satu kelebihan untuk model S125? Bukankah sepatutnya terbalik; enjin yang lebih besar biasanya akan lebih menarik dengan prestasi yang lebih baik? Dari satu sisi, pandangan itu memang betul. Tapi, dari sisi yang lain, enjin yang lebih kecil ini memberi satu kelebihan dari sudut penawaran harga.

Populariti Vespa memang tidak dinafikan, tetapi ramai juga yang berminat untuk memilikinya terpaksa menahan diri kerana tanda harganya bukanlah yang paling mesra poket, jika dibandingkan dengan pesaing model skuter dalam kelas enjin yang sama yang lain.

vespa-s125-bm-34

Untuk itu, Vespa S125 ini mungkin membuka sedikit harapan kepada mereka dengan bajet yang sedikit “ketat”, tetapi masih punya keinginan tinggi untuk memiliki Vespa dengan seluruh imej dan tradisinya; ia dijual pada harga dari pengedarnya pada RM10,988. Sebelum ini, model termurah yang pernah diperkenalkan oleh Vespa untuk pasaran tempatan ialah model Vespa LT 150 3V ie, pada harga RM9,888 pada penghujung 2014.

Namun model berkenaan menggunakan banyak bahagian yang diperbuat daripada plastik untuk membolehkannya ditawarkan pada harga seperti itu. Berbeza dengan S125; ia merupakan sebuah ‘lengkap’, dengan bahagian badannya diperbuat keseluruhannya daripada aluminium, seperti imejnya yang sudah sinonim selama ini. Ia bukan sebuah model yang “kosong”, cuma kapasiti enjinnya saja yang lebih kecil.

Bila guna enjin yang lebih kecil, adakah prestasinya juga rasa berkurangan berbanding enjin 150 cc? Sepanjang menggunakan skuter tunggang uji ini secara harian, prestasi keseluruhannya tidaklah dirasakan terlalu berbeza dengan model-model lainnya sebelum ini. Bahkan, ia terasa lebih ‘ringan’, termasuk maklum balas pendikitnya.

Sedikit data mengenai enjin skuter ini; 124 cc, silinder tunggal, empat lejang dengan tiga injap, ia menjana kuasa 11.6 hp pada 8,250 rpm dengan tork 10.7 Nm pada 6,500 rpm. Enjin berkenaan menggunakan sistem suntikan minyak elektronik dengan sejukan udara. Sistem transmisi pula menggunakan CVT dengan torque server.

Untuk memberi sedikit latar, berikut data janaan kuasa enjin bagi model LT 150 3V ie; ia menggunakan enjin 154.8 cc 3-injap satu silinder penyejukan udara dengan suntikan bahan api elektronik, dengan kuasa 12 hp pada 7,500 rpm dan tork maksimum 12 Nm pada 5,000 rpm.

Memang terdapat perbezaan output antara keduanya, walaupun tidak ketara, tetap memberikan kelainan dari aspek tunggangan. Walau pun begitu, ia tidaklah bermaksud Vespa S125 ini kekurangan dari sudut prestasinya.

Ketika tunggangan, atau di dalam selekoh, ia melahirkan rasa yakin kepada penunggang – dalam setiap keadaan, tunggangan dirasakan lebih stabil. Dengan berat kering 167 kg, nisbah antara berat dan kuasanya memadai untuk memberikan keseimbangan kepada tunggangan.

Sebagai bandingan, model LT 150 yang tampil dengan bahagian-bahagian yang diperbuat dariada plastik, memiliki berat yang kurang; iaitu 114 kg. Mungkin, penggunaan bahagian badan aluminium bukanlah hanya menjadikannya lebih berat semata, tetapi membuatkan skuter moden ini lebih kukuh dan stabil.

Apa pandangan tentang pengalaman tunggangannya? Jika dibandingkan dengan model-model skuter lain yang ada dijual dalam pasaran ketika ini, ada yang beranggapan Vespa S125 kelihatan agak kecil dan kurang selesa ketika di atas jalan.

Kemungkinan, menurut andaian yang sebegini, hal berkenaan akan menyumbang kepada ruang kaki yang terhad dan menjadikan penunggang cepat letih ketika dalam perjalanan. Ada juga yang beranggapan model ini, atau model Vespa secara umumnya, lebih sesuai untuk mereka yang bertubuh kecil sahaja.

Namun, apa yang kami alami ketika menunggang uji model ini sangat berlainan sekali; ia sebaliknya sangat seronok dan selesa untuk ditunggang. Saya gunakannya sebagai mod pengangkutan harian selama kurang lebih seminggu, dan pada kebanyakan waktu hanya melalui perjalanan singkat sekitar ibu kota.

Seperti dinyatakan awal tadi, antara perkara yang segera menangkap perhatian ialah prestasi keseluruhannya. Tidak kira dalam julat kelajuan yang bagaimana, ia sentiasa memberikan maklum balas yang berkesan dan segera tanpa lengah.

Tujahan ketika pendikit dipulas terus “sampai”, begitu juga dengan brek yang cekap. Model ini menggunakan brek cakera hidraulik 200 mm dibahagian depan, manakala di belakang pula ia menggunakan brek dram 110 mm sebagai pelengkap sistemnya.

Sepanjang berkesempatan menunggang beberapa model-model Vespa sebelum ini yang menggunakan sistem enjin tiga injap (3V) yang sama, Vespa S125 ini dirasakan memberikan dinamik tunggangan yang lebih menarik. Mungkin hal ini subjektif, tetapi memang ada beberapa penambah baikan yang dilakukan terhadap model ini untuk membolehkannya menawarkan prestasi yang menyenangkan itu.

Antara yang dimaksudkan ialah penggunaan crankshaft baharu, dengan bahagian bearing yang mengurangkan geseran. Nilai pada liang dan lejang juga kini masing-masing dikurangkan dan ditambah, untuk mendapatkan maklum balas dan tork yang lebih dari enjin.

Sistem suntikannya pula menampilkan ciri continuous cycle automatic idle management dan continuous cycle fuel mixture management; ECU yang menguruskan pemetaan ciri-ciri berkaitan juga adalah dari generasi baharu yang lebih cekap dan menjimatkan bahan api.

Bagaimana dengan penggunaan minyaknya yang dikatakan jimat ini? Di atas kertas, skuter dengan kapasiti tangki petrol 8.3 liter ini didakwa oleh pengeluarnya mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 50 km per liter. Tetapi, tiada indikator untuk mengesahkan perkara ini bagi penggunaan sebenar.

Bagaimanapun, ada satu masalah lain yang sempat saya alami ketika menggunakan skuter ini. Jika membawa pembonceng belakang dan melalui jalan berbonggol, beberapa kali juga bahagian bawahnya tersagat di permukaan jalan.

Namun, kemudiannya kami dimaklumkan, hal itu ada cara penyelesaian yang mudah. Jika ingin membawa pembonceng, talaan pada penyerap hentaknya boleh di alihkan secara manual kepada talaan untuk naik berdua. Ini akan mengelakkan masalah tadi daripada berlaku.

Untuk kemudahan penunggang, beberapa ciri utiliti turut tersedia, seperti cangkuk dibahagian tengah, tidak jauh dari slot kunci, serta ruang barangan di bawah tempat duduk. Jadi, adakah Vespa S125 berjaya memikat hati?

Dari aspek prestasi dan keseronokan tunggangan, ia ternyata berhasil. Tetapi dari segi penggunaan bahan api, ia tidak begitu menonjol. Apa pun, dalam kalangan skuter berkapasiti 125cc yang ada dalam pasaran kini, tidak terlalu berlebihan jika saya nyatakan Vespa S125 adalah yang paling menarik.

Begitu juga dengan barisan model Vespa yang ada (terutama penawaran harganya), saya fikir ia boleh memberikan nilai yang terbaik kepada mereka yang ingin memiliki sebuah skuter retro moden yang memikat dan berbeza daripada skuter-skuter lain – jenama Vespa yang sangat sinonim dengan tradisi dan sejarah panjang dari Itali.

Vespa S125

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required