Susulan dari prebiu model konsep Renault Alpine Vision sebelum ini, akhirnya kereta sport dengan warisan konsep enjin tengah pacuan belakang dari Perancis berkenaan dilihat diuji diatas jalan raya awam, dengan bentuk hampir ke versi produksi. Model baharu ini direka seolah-olah jelmaan semula model klasik Alpine A110, dan dijangka bakal dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 250 hp.

Muka versi produksi ini dilihat mengambil terus rekaan dari Alpine Vision, yang terdiri dari lampu utama dan lampu kabus yang ‘ditanam’ pada bampar hadapan serta lampu nyalaan siang yang direka seperti gelang terletak di dalam lampu-lampu utama. Begitu juga pada bahagian belakang, ia menerima lampu kombinasi dengan rekaan grafik “X” serta tip ekzos yang terletak pada bahagian tengah, sama seperti model konsep.

Setelah dilancarkan nanti, Alpine dijangka akan memberikan saingan sengit terhadap Audi TT S dan Porsche Cayman, walaupun jumlah kuasa 250 hp yang dibekalkan agak rendah berbanding TT S dan Cayman. Tetapi, berat keseluruhan Alpine dijangka 300 kg lebih ringan dari Cayman, iaitu 1,100 kg, membolehkan ia memberi tentangan dalam kelas tersebut.

Sejak dari penubuhannya pada 1955, Alpine merupakan jenama bebas yang hanya menggunakan enjin dari Renault. Namun, atas pelbagai krisis yang dihadapi, jenama berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Renault pada tahun 1973. Alpine terakhir yang diproduksi adalah model A610 pada tahun 1995, dan pengumuman untuk menghidupkan semula jenama berkenaan dibuat pada tahun 2007, tetapi terpaksa dibekukan pada tahun 2009 kerana krisis yang dihadapi Renault.

Pada 2012, pembuat kereta sport British iaitu Caterham telah membeli 50% kepentingan Alpine dari Renault dan projek baharu akan melibatkan kerjasama kedua-dua jenama berkenaan. Walau bagaimanapun, Renault membeli semula keseluruhan kepentingan tersebut dari Caterham, dan sekarang Alpine merupakan milik penuh pengeluar dari Perancis itu.