Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik dieksport ke Jepun dan menerima talaan turbo oleh FEED?

Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik dieksport ke Jepun dan menerima talaan turbo oleh FEED?

Laman facebook Fuel Garden dari Malaysia telah menyiarkan gambar-gambar sebuah Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik yang telah diimport ke Jepun dan menerima sentuhan dari syarikat penala yang terkenal dengan ubahsuai enjin rotari Mazda – Fujita Enginnering atau FEED.

Dengan melakukan siasatan lebih lanjut, kami ditemukan dengan sebuah blog bertajuk That’s why S Okay! milik seorang rakyat Jepun yang juga pemilik Myvi tersebut. Menurut blog ini, Myvi berkenaan diimport dari Malaysia dan sampai ke Jepun pada tahun 2012, dan projek ini sudah pun siap pada 2015.

Setelah sampai di Jepun, pemilik berkenaan menyatakan keinginannya untuk mengubahsuai Myvi tersebut agar ia lebih pantas dari kembar Myvi di Jepun iaitu Toyota Passo TRD. Pemiliknya juga tidak terus menghantar Myvi ini terus ke FEED, tetapi memulakannya dengan seperti menukar set suspensi asal kepada set suspensi Hypermax S-Style dari HKS, set brek dari Project Miu dan juga rim aloi Advan RG2 dibaluti tayar Yokohama Advan AD08.

Sentuhan dari Fujita Engineering bermula apabila pemiliknya mahukan pengecas turbo dipasang pada Myvi berkenaan. Mengapa FEED? ini kerana dia juga memiliki kereta sport Mazda RX-7 SA22C dan juga Roadster MX-5 NB8C. Pemiliknya juga terpaksa memesan omboh dan rod penghubung keluaran CP-Carillo dari Amerika Syarikat, bagi memastikan ia mendapat nisbah mampatan yang sesuai iaitu sekitar 8.5:1 setelah mendapat udara tambahan dari pengecas turbo dan juga memastikan rod penghubung tidak patah apabila dipaksa untuk mengerah lebih tenaga.

Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik dieksport ke Jepun dan menerima talaan turbo oleh FEED?

Untuk projek ini juga, pemiliknya tidak menggunakan enjin asal dari perut Myvi ini, sebaliknya membeli sebuah lagi enjin 3SZ-VE yang sama dalam keadaan terpakai, tetapi dari badan Toyota bB. Selain dari omboh dan rod penghubung, pemilik turut membuat imbangan semula pada aci engkol.

Kepala silinder asal 3SZ juga tidak lagi digunakan, di mana FEED memadankan kepala silinder dari enjin K3-VET Passo yang telah menerima proses ‘port and polish‘ pada liang kemasukan dan liang ekzos. Setelah semua bahagian dalaman enjin dipasang, pemilik memadankan pula turbin GT-SS dari HKS dengan sistem paip binaan khas. Unit intercooler dari ARC yang asalnya dibuat untuk Mazda RX-7 FC3S dipasang pada Myvi ini bagi memberikan udara yang lebih sejuk masuk ke kebuk pembakaran.

Untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi dihantar ke kebuk pembakaran, pam bahan api asal ditukar kepada pam berkapasiti 275 liter sejam dari SARD serta kesemua penyuntik bahan api asal ditukar kepada penyuntik berkapasiti 400 cc dari Mazda RX-8.

Kotak komputer enjin asal Myvi masih digunakan, tetapi telah ‘ditipu’ dengan kotak komputer piggy-back tambahan FCON-iS dari HKS bagi menala semula nisbah campuran bahan api dan udara bagi membolehkan enjin ini mengerah kuasa yang paling optimum. Tekanan boost turbo pula ditetapkan pada paras 1 bar menerusi pengawal boost EVC 6 juga dari HKS. Tugas membuang tekanan boost lebihan pula diberikan kepada injap blow-off HKS Super SQV IV D.

Setelah mendapat kuasa yang jauh lebih buas, kotak gear automatik asal Myvi ini turut dipertingkatkan bagi memastikan ia kekal bertahan. Penyejuk bendalir transmisi automatik diberikan bagi memastikan suhu ATF kekal rendah walaupun sedang dipandu secara agresif. Kapasiti klac dan tekanan hidraulik di dalam kotak gear serta torque converter juga dipertingkatkan bagi menampung kuasa yang lebih besar. Pemilik turut memadankan LSD mekanikal yang dibina untuk Daihatsu Copen AT keluaran ATS.

Setelah kesemua ini lengkap, pemilik Myvi ini sekali lagi merombak sistem suspensinya, kali ini dengan memadankan set suspensi Super Ohlins pula.

Kesemua ubahsuai ini sebenar merupakan ubahsuai peringkat pertama yang ditala untuk digunakan sebagai sebuah kereta litar. Menurut pemilik, Myvi 1.5 Extreme Turbo miliknya ini mudah untuk mencapai kelajuan 200 km/j. Tetapi bampar hadapan akan menjadi renggang kerana tidak tahan dengan rintangan angin pada kelajuan tersebut oleh kerana varian Extreme ini dipadankan dengan spoiler pada bahagian bampar, dan beliau terpaksa merapatkan kembali bahagian tersebut setiap kali selepas mencatatkan kelajuan 200 km/j.

Untuk peringkat kedua ubahsuai Myvi ini, pemilik lebih menumpukan untuk menjadikan Myvi ini sebuah hatchback yang sempurna untuk digunakan diatas jalan raya. Oleh itu, komputer asal Myvi+HKS FCON-iS kini ditukar kepada kotak komputer stand alone Haltech Elite 1500.

Walaupun berada di Jepun, Myvi ini masih berbentuk seperti Myvi tanpa pengubahsuaian komponen badan dari Toyota Passo atau Daihatsu Boon. Pemilik hanya menebuk bonet enjin asal bagi memadankan liang udara terus ke penapis udara serta memadankan GT-Wing yang dibina untuk Passo TRD pada pintu tailgate belakang.

Begitu juga pada bahagian dalaman, hampir kesemua komponen Myvi masih kekal ditempatnya termasuk roda stereng. Pemilik hanya menukar tempat duduk asal kepada tempat duduk lebih sporty dari Recaro, serta memadankan berberapa meter tambahan seperti meter Defi ADVANCE ZD (memberikan bacaan suhu air, suhu minyak pelincir, boost turbo serta kelajuan) dan juga meter bacaan nisbah bahan api/udara M300TE.

Oleh kerana Myvi ini dari Malaysia, pemilik juga terpaksa mengubahsuai sistem penghawa dinginnya kepada sistem yang mempunyai pemanas (heater). Menerusi ulangkaji yang dijalankan oleh pemilik sendiri, sistem penghawa dingin Myvi dan Passo/Boon adalah tidak serupa, tetapi ia hampir sama dengan sistem pada Toyota bB, dimana kebanyakkan komponennya boleh dipasang terus pada Myvi, termasuk suis kawalan pada papan pemuka.

Walau bagaimanapun, tahun lalu pemilik ini mengambil keputusan untuk menjual Myvi ini, dan meminta Fujita Engineering menanggalkan sistem turbo serta menukar semula enjin asalnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required