Seperti yang kita sedia maklum, cukai jalan yang dikenakan di Malaysia bukanlah berdasarkan kadar penggunaan jalan raya sesebuah kenderaan. Sebaliknya, ia dikenakan mengikut kapasiti enjin kenderaan yang digunakan – lebih besar kapasiti enjin, lebih tinggi cukai jalan yang dikenakan, baik bagi kereta atau motosikal.

Struktur cukai jalan motosikal terpecah kepada enam kategori. Ia adalah seperti berikut; 0 hingga 150 cc (RM2), 151 cc hingga 200 cc (RM30), 201 cc hingga 250 cc (RM50), 251 cc hingga 500 cc (RM100), 501 cc hingga 800 cc (RM250) dan 801 cc ke atas (RM350).

Bagi motosikal 250 cc, kadar yang dikenakan nampak murah. Tetapi, bagi kategori kapasiti enjin motosikal yang semakin meningkat selepas itu, ia tak lari banyak jika dibandingkan dengan cukai jalan yang dikenakan kepada kereta dengan enjin 2.0 liter; walaupun kos penggunaannya tidak sama, kerana motosikal tidak perlu membayar tol.

Bagi insurans pula, motosikal membayar lebih berbanding kereta. Sebagai contoh, bergantung kepada jumlah yang diinsuranskan, tanpa mengambil kira umur penunggang, pengalaman atau rekod tunggangannya di jalan raya, motosikal yang diinsuranskan pada nilai RM50,000 memerlukan penunggang untuk membayar RM1,715 bagi insurans tahunan komprehensif (all-rider).

Sementara bagi model seperti Honda EX-5, dengan jumlah diinsuranskan sekitar RM4,400, perlu membayar premium insurans sebanyak RM292.38. Berdasarkan kiraan insurans di carbase.my, ini adalah lebih tinggi daripada premium insurans komprehensif sebuah kereta 1.4 liter yang membayar RM1,547 setahun.

Bagi motosikal berkuasa besar pula, dengan kadar diinsuranskan sebanyak RM125,000, jurangnya sama juga; RM3,563 bagi kereta 2.2 liter berbanding RM3,742 bagi motosikal 1,000 cc. Memang sukar untuk membandingkan antara motosikal dan kereta secara setara, kerana kedua-duanya memiliki faktor lain yang membezakan (unit import, prestasi tinggi dan sebagainya memang lebih mahal). Tetapi, menarik juga untuk kita mengetahui perbezaan ini, bukan?