Kemalangan maut antara dua kenderaan yang berlaku berdekatan Batu Gajah, Perak semalam meragut lima nyawa, termasuk tiga lagi yang cedera parah. Mangsa yang maut terdiri daripada empat orang yang menaiki sebuah kenderaan Toyota Vios, dan seorang lagi di dalam sebuah Mercedes-Benz C-Class.

Semua penumpang di dalam Vios meninggal, sementara penumpang depan C-Class berkenaan turut terkorban. Pemandu berkenaan pula mengalami cedera teruk di kepala, begitu juga dengan dua penumpang belakangnya. Dipercayai kereta Vios telah merempuh Mercedes-Benz berkenaan secara berdepan selepas memotong sebuah kenderaan lain.

Berdasarkan gambar yang beredar di media sosial (tidak dipaparkan di sini), penumpang belakang di dalam Vios kelihatan seperti tidak menggunakan tali pinggang keselamatan, dan tercampak ke depan dalam perlanggaran itu, menyebabkan penumpang depan turut terhimpit ke arah papan pemuka. Pertembungan berkenaan kelihatan seperti berlaku dalam kelajuan yang tinggi.

Kajian oleh US Federal Motor Carrier Safety Administration menunjukkan, bagi kemalangan melibatkan kenderaan yang bergerak 50 km/j, berat beban penumpang yang tidak menggunakan tali pinggang keselamatan akan meningkat sebanyak 30-60 kali ganda berbanding berat asal mereka.

Ini bermaksud, di dalam pertembungan 30-50 km/j, penumpang belakang akan menjadi anggaran beban dan daya yang bersamaan dengan 3.5 tan dan menghentam ke arah penumpang depan. Sangat jelas, di dalam situasi seperti yang berlaku di dalam kemalangan ini, ia bukan sahaja boleh membawa kecederaan, tetapi maut.

Laporan oleh World Health Organization (WHO) terhadap keselamatan jalanraya bagi 2015 mencadangkan bahawa Malaysia mempunyai kadar patuh pada kadar 77% dan 13% bagi penggunaan tali keselamatan bagi penumpang depan dan belakang. Angka ini lebih rendah berbanding Kemboja dan Vietnam. Bagaimanapun, PDRM menyangkal angka berkenaan dan menyatakan bahawa ia adalah sebaliknya.

Sementara itu, Institut Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) pada Mei 2015 mendapati hanya 7-9% warga Malaysia menggunakan tali pinggang keselmatan ketika duduk di belakang. Kebanyakan yang meggunakannya pula disebabkan takut disaman, dan bukannya atas kesedaran tentang keselamatan itu sendiri.

Di sini, kami ingin mengambil kesempatan untuk memohon semua pembaca memanfaatkan tali pinggang keselamatan ketika berada di dalam kenderaan. Ini termasuk memastikan penumpang anda di belakang turut melakukan perkara yang sama. Paling utama, ia adalah untuk keselamatan anda semua, bukan kerana hal-hal lain, seperti takut disaman dan sebagainya.