Setelah beberapa lama berita mengenai perpindahan operasi kilang pemasangan Proton di Shah Alam ke Proton City di Tanjung Malim diperkatakan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengesahkan, ia akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Perpindahan ke Tanjung Malim itu bertujuan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran selain memusatkan pengoperasian kumpulan. Malah ia juga memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 10,000 masyarakat setempat,” ujarnya, laporan Bernama.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai kerjasama strategik antara Proton dengan beberapa syarikat pengeluar asing. Katanya ia sangat diperlukan bagi memastikan Proton terus mampu menghasilkan kereta yang lebih berkualiti selain meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini juga akan menyokong pembiayaan penyelidikan dan pembangunan Proton kerana kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kedudukan kukuh dan stabil akan menjadikannya lebih kompetitif,” katanya, senada dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hujung minggu lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Johari yang menyebut, kerajaan menganggap perkembangan itu baik untuk Proton dan membolehkannya muncul sebagai jenama antarabangsa yang dikenali berbanding hanya bertumpu di peringkat tempatan dan menjual antara 200,000 dan 300,000 unit kenderaan yang disifatkannya sebagai tidak memadai.

Tambah Ka Chuan lagi, keputusan untuk menentukan rakan strategik ini terletak sepenuhnya kepada Proton yang kini merupakan syarikat persendirian dan bukan lagi milik kerajaan.

“Kerajaan tidak berhasrat untuk mencampuri urus niaga Proton kerana kita tidak mempunyai sebarang kepentingan. Maka, Proton bebas membuat keputusan, namun kita (kerajaan) akan terus memberi pandangan,” ujarnya lagi.