Mercedes-AMG Project One – hibrid AWD, tahap merah 11,000 rpm, jarak gerak elektrik 30 km, RM10.8 juta

Mercedes-AMG Project One – hibrid AWD, tahap merah 11,000 rpm, jarak gerak elektrik 30 km, RM10.8 juta

Mercedes-AMG telah mendedahkan beberapa perincian penting berkenaan hypercar Project One mereka, yang dijangka membuat penampilan semasa Frankfurt Motor Show akhir tahun ini. Menurut Autocar, enjin yang berasal dari kenderaan F1 yang digunakan pada kereta ini akan mendapat spesifikasi yang menakjubkan, walaupun agak mahal – 2.275 juta euro (RM10.8 juta), termasuk cukai.

Duit yang dibelanjakan itu akan memberi anda sebuah kereta berenjin 1.6 liter turbo V6, dari kereta lumba F1 W07 Hybrid, yang mana juga adalah juara perlumbaan tahun lepas. Enjin ini dipadankan bersama dua unit motor-generator – satu digelar MGU-K untuk menukar tenaga kinetik yang biasanya hilang apabila membrek kepada elektrik, dan satu lagi, MGU-H yang terletak bersebelahan pengecas turbo melakukan perkara sama, tetapi pada haba ekzos.

Selain itu, pada bahagian hadapan juga ditambah dengan motor elektrik berkembar seperti Honda NSX, memberikan pacuan empat roda, dan sistem torque vectoring yang digelar oleh AMG sebagai AMG Torque Dynamics. Walaupun talaan kenderaan ini direndahkan untuk kegunaan jalan biasa, Mercedes-AMG masih lagi mensasarkan jumlah kuasa sehingga 1,000 hp, sama seperti kereta lumba F1. Sebagai sebuah kereta plug-in hybrid, Project One juga boleh bergerak dengan bergantung pada kuasa elektrik sahaja sejauh 30 km.

“Kita akan mempunyai empat motor elektrik – satu untuk setiap roda, satu pada crankshaft dan satu lagi pada pengecas turbo enjin,” kata ketua pegawai eksekutif Mercedes-AMG, Tobias Moers. “Kita juga akan menggunakan sel bateri ‘prestasi’ sama seperti kereta F1, yang mempunyai kelebihan dan batasan sendiri – tetapi kami masih boleh memberi jarak pergerakan EV 30 km. Sasaran berat kami adalah 1,300 kg DIN.”

Mercedes-AMG Project One – hibrid AWD, tahap merah 11,000 rpm, jarak gerak elektrik 30 km, RM10.8 juta

Pada kereta lumba F1, enjin ini boleh dikerah sehingga 15,000 rpm tetapi pada Project One, memandangkan telah ‘dilembutkan’, Moers memberitahu ia akan dihadkan pada tahap 11,000 rpm sahaja. Beliau juga mengesahkan Project One akan menggunakan transmisi sequential manual, berbanding transmisi klac berkembar yang kompleks.

Kemampuan memecut kenderaan ini masih belum diberitahu, tetapi Moers ada menyatakan tentang laju maksimumnya. “Ini bukanlah sebuah kereta untuk laju maksimum. Sememangnya ia boleh mencecah 350 km/j, tetapi untuk pergi lebih daripada itu, ia melibatkan banyak kompromi bagi kami – kepada tayar, aero serta keseimbangan pengendaliannya.”

Moers juga mendakwa Project One boleh dipandu seperti kereta jalanan biasa, tanpa sebarang persediaan awal seperti kereta F1. “Kami juga bercadang untuk melakukan program khas untuk menyokong pemilik, tetapi, menggunakan kereta ini tidak akan menyusahkan, sebagaimana yang difikir oleh ramai pelanggan berpotensi.”

“Disebabkan teknologi F1 pada kenderaan ini, orang selalu bertanya kepada saya, “Adakah saya perlu kru sokongan atau minyak khas untuk menggerakkannya? Jawapan saya sentiasa adalah tidak. Ini adalah kereta untuk jalan biasa. Anda cas semasa ia berada dalam garaj. Kemudian isi dengan minyak RON 98. Itu sahaja,” kata Moers.

“Pengeluaran kenderaan ini akan terhad kepada 275 unit, dan Moers menjangka semuanya akan habis dijual sebelum penampilan pertamanya di Frankfurt. Pelanggan akan dapat memandu kenderaan ini pada pertengahan tahun 2018. Ia akan bergantung kepada pengurus pasaran tempatan berkenaan siapa yang akan mendapat Project One ini,” tambah Moers.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required