Sesuatu yang menarik sedang dilakukan oleh Honda, jika betullah gambar spyshot ini boleh dipercayai. Gambar ini menunjukkan satu kereta konsep tanpa sebarang pelekat camouflage – speedster yang seperti mempunyai enjin di tengah, tetapi lebih kecil daripada NSX, seterusnya memberikan bayangan potensi sebuah kereta sports/roadster yang terletak atas daripada S660.
Walaupun bahagian muncungnya lebih rendah berbanding NSX, kereta misteri ini berkongsi banyak perincian rekaan dengan supercar tersebut, termasuk lampu hadapan terbelah, gril hadapan yang besar, diapit dengan dua salur udara, salur udara besar di tepi pintu, dan bahagian belakang yang agresif, dengan lampu yang nipis, lubang angin terpisah dan diffuser yang besar. Ekzos yang terletak di bahagian tengah keluar di antara dua lampu belakangnya, seperti sebuah McLaren. Rim Volk Racing TE37 melengkapkan gayanya.
Memang, kereta konsep ini kelihatan begitu hampir dengan imej paten yang pernah muncul pada tahun 2015, meskipun bahagian belakangnya berbeza. Pada masa itu, ia dikata akan menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo, dipadankan dengan sistem hibrid tiga motor seperti NSX, memberikan jumlah kuasa sekitar 300 hp.
Penggunaan tetapan hibrid enjin di tengah, serta nama ZSX yang didaftar oleh Honda pada tahun lepas, bermakna kereta ini berkemungkinan akan dipasarkan sebagai ‘adik’ kepada NSX, berbanding pengganti kepada S2000. Idea tiga kereta sports Honda sememangnya menggiurkan, terutama sekali apabila anda melihat bahawa Toyota juga bercadang untuk mengeluarkan tiga model sports.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.