Selepas model i-ROAD, Toyota kini memperkenalkan sebuah lagi penggerak peribadi, iaitu i-TRIL di Geneva Motor Show. Ia adalah gambaran Toyota terhadap kenderaan bandar tahun 2030, yang juga boleh menjadi pengganti alternatif kepada kenderaan hatchback segmen A dan B yang biasa.
Kereta ini direka dengan melihat kepada bandar bersaiz kecil hingga sederhana (SMESTO), dengan jumlah pemanduan gerak-henti yang tinggi, dan memerlukan sebuah kereta yang kecil, lincah dan mesra alam. Pelanggan sasarannya adalah ibu tunggal beranak dua yang berumur antara 30 hingga 50 tahun, dengan gaya hidup aktif.
Memandangkan ia mempunyai tiga tempat duduk, i-TRIL lebih lebar berbanding i-ROAD yang mempunyai dua tempat duduk (satu di depan dan satu di belakang), dengan ukuran panjang 2,830 mm, tinggi 1,460 mm, jarak tayar hadapan 1,200 mm dan jarak tayar belakang 600 mm. Sama seperti i-ROAD, kereta ini condong untuk mengambil selekoh dan gandar belakangnya terasing daripada badan utama supaya dapat kekal sama dengan permukaan jalan.
Sudut condong kenderaan ini terhad kepada 10 darjah, dan menurut Toyota, ini meningkatkan stabiliti, cengkaman dan kepuasan memandu, dengan kurang risiko mabuk kenderaan. Sudut stereng pula adalah 25 darjah, seterusnya memberikan i-TRIL jarak membelk habis hanya empat meter, sama seperti iQ. Kuasa untuk kenderaan ini datang daripada motor elektrik yang diletakkan di belakang, dan mempunyai berat keseluruhan 600 kg. Toyota mensasarkan jarak pergerakannya untuk mencecah 200 km.
Tiada pedal kaki pada kenderaan ini – sebaliknya, pecutan dan brek dapat dikawal dengan menggunakan sistem ride-by-wire. Sebagai sebuah kenderaan masa hadapan, ia juga boleh bergerak sendiri, dengan bahagian kiri dan kanan papan pemuka akan menyala mengikut arah selekoh yang akan diambil.
Pada bahagian depan, i-TRIL boleh dikenali dengan grafik lampu hadapan beralir, dan fender hadapan yang terasing itu menyimpan fungsi condong sewaktu selekohnya. Pada bahagian tepi, peralihan daripada cermin lutsinar menaikkan lagi bentuk dinamiknya, manakala bahagian belakang pula menampilkan lampu bersaiz penuh.
Untuk masuk ke bahagian dalam, pengguna perlu melalui pintu yang dibuka ke atas, bersama sebahagian daripada lantainya. Tempat duduk pemandu utama di hadapan boleh berpusing 20 darjah ke kiri dan kanan untuk memudahkan pergerakan keluar masuk dan ia dibalut dengan Alcantara dan bentuk seperti pelindung. Lantai pula dibuat daripada kayu dan semua bahan lain boleh dikitar semula.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.