Selain dari bas dua tingkat, teksi unik di bandar London yang lebih dikenali sebagai London Cab merupakan antara ikon di bandar tersebut. Syarikat pengendali teksi berkenaan – London Taxi Company – telah pun mendapatkan urusniaga untuk membawa teksi-teksi tersebut untuk pasaran luar negara, dan model-model baharu kini sedang giat di bina. Terbaharu, teksi berkenaan dijumpai di Sweden untuk melakukan ujian musim sejuk.
Teksi baharu ini dibangunkan oleh pembuat automotif dari China, Geely, dan model yang dijumpai ini merupakan versi elektrik sepenuhnya dan dijangka bakal diperkenalkan pada hujung tahun ini sebagai model 2018. Menurut sumber, London Cab EV ini turut akan diberikan opsyen unit penambah jarak seperti sistem pada BMW i3.
London Cab baharu ini masih lagi mengekalkan reka bentuk asalnya – mempunyai akses kerusi roda, kapasiti bagasi diletakkan pada sebelah pemandu, radius pusingan kecil, dan juga enam-tempat duduk untuk penumpang yang disusun secara berdepan.
Model TX4 sedia ada akan dibekalkan ke pasaran Australia dan New Zealand dengan perjanjian 10-tahun yang telah dimeterai. Bagi model EV yang sedang dalam pembinaan ini dijangka bakal dikenali sebagai TX5, yang bakal diproduksi bersama TX4 di kilang LTC Ansty, Conventry.
Kilang berkenaan bakal mempunyai kapasiti untuk memproduksi sehingga 36,000 unit kenderaan dalam setahun setelah fasiiti produksi dan R&D baharunya beroperasi – 10 ganda lebih banyak dari fasiliti lama. Sebelum ini, Nissan tidak dapat untuk menyambung tugas model NV200 mereka sebagai teksi London kerana berhadapan dengan masalah undang-undang emisi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.