Satu tahun selepas Acura MDX facelift ditampilkan di New York, cabang jenama mewah Honda tersebut memperkenalkan pula varian paling tinggi Sport Hybrid. Seperti yang dapat dilihat pada namanya, SUV premium ini menggunakan sistem Sport Hybrid Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) tiga motor, yang juga dipakai pada model NSX dan RLX/Honda Legend.
Bahagian utama enjin hibrid ini adalah enjin 3.0 liter N/A SOHC i-VTEC V6, dengan sistem start/stop automatik, berkemampuan 257 hp pada 6,300 rpm dan 296 Nm pada 5,000 rpm. Enjin pembakaran dalaman ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, dan di antaranya terdapat motor elektrik yang memberi kuasa segera dan bertindak sebagai pengganti kepada torque converter.
Pada bahagian belakang kenderaan ini, terletak pula Twin Motor Unit (TMU) – sama seperti yang terdapat di bahagian depan NSX – yang boleh memberikan tork negatif dan positif kepada kedua-dua tayar belakang supaya lebih bersesuaian. Secara keseluruhannya, MDX Sport Hybrid boleh menghasilkan 321 hp dan 329 Nm tork.
Walaupun mempunyai 31 hp lebih berbanding model V6 3.5 liter biasa – menjadikannya SUV Acura paling berkuasa – MDX Sport Hybrid mempunyai catatan penggunaan bahan api bercampur EPA 2.5 L/100 km lebih baik, iaitu pada tahap 8.7 L/100 km. Pemandu juga boleh memilih empat mod yang disediakan iaitu Comfort, Normal, Sport dan Sport+ untuk mengubah karekter prestasi sistem Sport Hybrid SH-AWD yang digunakan.
Untuk aspek keselamatan, semua model MDX mendapat sistem bantuan pemandu AcuraWatch, termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist (LKAS), Adaptive Cruise Control (ACC) dengan ciri mengikut di kelajuan rendah dan Road Departure Mitigation (RDM).
Turut didatangkan secara standard adalah kamera undur, manakala model paling tinggi dilengkapi pula dengan pengesan titik buta, pengesan jarak depan dan belakang, Rear Cross Traffic Monitor dan lampu tinggi automatik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.