Sky Team Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang telah berada di Malaysia sejak tahun 2012 dengan dua produknya iaitu Lady 110 dan PBR 110 kini melancarkan sebuah lagi motosikal, yang mempunyai gaya cafe racer, dinamakan sebagai Ace 125.
Motosikal yang asalnya dibawa dari Changzhou Jiangsu, China dan dipasang di Malaysia ini menggunakan asas daripada motosikal Honda CG125. Ia dikuasakan oleh enjin empat strok 124.11 cc, dengan sistem karburetor, dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 8.5 Nm tork pada 7,500 rpm.
Suspensi bahagian hadapan motosikal ini menggunakan jenis fork teleskopik, manakala bahagian belakang pula adalah dua penyerap yang berwarna krom. Untuk brek, bahagian hadapan menggunakan cakera manakala belakang pula adalah jenis dram. Kedua-dua tayar motosikal ini menggunakan rim 18 inci, dengan tayar 2.75 inci di hadapan dan 3.0 inci di belakang. Berat keseluruhan Ace 125 adalah 87 kg, dan ia menyediakan tangki minyak sebesar 9.2 liter.
Sky Team memasarkan Ace 125 pada harga asas RM6,588 dan apabila dicampur dengan GST, insurans dan pendaftaran, ia menjadi RM7,366.78. Turut diberi adalah jaminan selama satu tahun atau 10,000 km. Buat masa awal ini, Ace 125 ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, perak dan kelabu, dan setiap pembeli akan diberikan tambahan satu lagi tempat duduk jenis tunggal.
Untuk masa hadapan, Sky Team bercadang membawa lebih banyak lagi model ke pasaran Malaysia, sebagai tambahan kepada tiga model yang sekarang dan ia termasuk antaranya T Rex RV 125 cc, Bongo 125 cc, Cobra 125 cc, Skymax DAX Pro dan V Raptor 250.
Sky Team mempunyai 153 pengedar di seluruh Malaysia, dan selain membeli produk, pemilik juga boleh menghantar motosikal mereka ke semua pengedar ini untuk khidmat servis dan baik pulih.
GALERI: Ace 125
GALERI Lady 110
GALERI: PBR 110
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.