Bosch sememangnya sudah terlibat lama dalam menghasilkan sistem keselamatan untuk kenderaan dengan antaranya penghasilan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman (Traction Control). Terbaru, syarikat teknologi itu sedang membangunkan sistem komunikasi antara kereta dan motosikal yang diharap dapat membantu mengelakkan kemalangan tertentu.
Sistem ini dibangunkan bersama Autotalks, Cohda Wireless dan Ducati, dan ia melakukan penukaran data di antara kenderaan menggunakan WLAN, dan ia boleh menghantar dan menerima isyarat secara automatik dalam masa beberapa milisaat di antara kenderaan.
Ini cara ia berfungsi: Kenderaan dalam radius beberapa ratus meter bertukar informasi berkenaan laju, jenis, kedudukan dan arah pergerakan sehingga 10 kali setiap saat. Bermaksud, sebelum sesebuah motosikal tiba dalam penglihatan pemandu lain, mereka sudah boleh mengetahuinya. Dan apabila semakin hampir, amaran akan dikeluarkan.
Ini sekaligus dapat memberi amaran awal kepada setiap pemandu, dan mereka boleh bersedia untuk bertindak. Ia dianggap berguna terutama sekali apabila berada di titik buta atau bertukar lorong untuk memotong. Bagi kereta, informasi ini akan muncul di skrin hiburan dan informasi mereka, bersama suara yang dikeluarkan seperti sistem navigasi manakala bagi motosikal, perkara sama juga dilakukan, cuma mereka perlu mempunyai sistem pendengaran yang disambung untuk mendengar amaran.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.