Sebuah Perodua Alza telah merempuh Restoran Nasi Kandar Kassim Mustafa di Gat Lebuh Chuia, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi. Dalam kejadian pada jam 11.16 malam, kereta yang datang dari arah Jalan Pengkalan Weld menghala ke Jalan Kapitan Keling itu hilang kawalan sebelum terbabas selepas pemandunya dilapor cuba mengelak seorang pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata pemandu itu dipercayai cuba mengelak seorang pejalan kaki yang tiba-tiba melintas di jalan berkenaan dan menyebabkan kenderaannya terbabas sebelum melanggar sebuah motosikal dan merempuh restoran nasi kandar tersebut, laporan Bernama.
Walau bagaimana pun, pemandu kereta dan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan. Manakala seorang pelanggan yang terlibat mendapat sedikit kecederaan akibat terkena kerusi yang terpelanting dan telah mendapat rawatan di sebuah klinik swasta.
Anuar berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
Kemalangan itu menyebabkan keadaan dalam restoran berkenaan berselerak manakala kereta Perodua Alza mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.